
KUALA TERENGGANU: Terengganu bersama Kementerian Ekonomi sedang menyediakan kerangka bagi projek Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (carbon capture utilization storage) atau CCUS.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini beliau telah mengajukan soalan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) berkaitan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 di Dewan Rakyat.
Beliau mengemukakan pandangan bahawa Terengganu merupakan salah sebuah negeri yang paling strategik untuk untuk menjadi pelopor bagi industri CCUS di Kompleks Petroleum yang sedia ada di negeri ini.
“Kementerian MITI telah memberi jawapan bahawa akan ada satu libat urus untuk membincangkan tentang CCUS ini, maka langkah segera yang diambil, Kementerian Ekonomi melalui Yang Berhormat Menteri telah hadir untuk kita bincangkan berkenaan CCUS.
“Isu ini amat besar dan penting bagi negeri Terengganu supaya ekosistem yang kita buat di negeri Terengganu ini akan memberi pulangan hasil kepada negeri ini sendiri dan tentunya penting juga untuk Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi libat urus CCUS bersama Kementerian Ekonomi yang turut dihadiri wakil jabatan dan agensi di peringkat negeri dan persekutuan. (Foto atas)
Samsuri berkata, perbincangan awal telah diadakan untuk membolehkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan negeri bekerjasama dengan Petronas sebagai rakan kongsi dalam pelaksanaan CCUS.
Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan bahawa CCUS adalah salah satu daripada projek rintis dalam pelan peralihan projek negara.
“Negeri Terengganu adalah satu negeri peneraju untuk melaksanakan CCUS ini dengan mengambil kira potensi negeri yang memang sudah ada telaga-telaga minyak di luar pesisir pantai dan juga fasiliti terminal yang memang sedia ada di Kerteh.
“Peringkat kerajaan persekutuan kita sedang memuktamadkan rang undang-undang untuk dibentangkan di bulan November 2024 dan itu akan melahirkan industri CCUS di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2024











