
KOTA BHARU: Festival Keris dan Warisan Kelantan yang julung kali diadakan mengumpul sebanyak 300 bilah keris untuk dipamerkan kepada pengunjung sempena majlis yang bermula hari ini sehingga 31 Julai depan.
Pejabat Sultan Kelantan dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan ia sebahagian koleksi Kerabat D’raja Kelantan, Pengumpul Keris Kelantan, Persatuan Seni Purba dan Kraftangan Kelantan serta Kelab Warisan Kelantan ada yang berusia lebih 200 tahun.
Festival yang diadakan di Istana Balai Besar itu merupakan anjuran bersama antara kerajaan negeri, Perbadanan Muzium Kelantan, Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC) dan Kraftangan Malaysia cawangan Kelantan.
Ia dibuka setiap hari kecuali Jumaat yang bermula pada jam 9.00 pagi sehingga 9.00 malam di Istana Balai Besar Kota Bharu.
“Buat julung kali diadakan akan mengumpulkan kira-kira 300 bilah keris warisan Kelantan yang terbaik terbaik daripada koleksi Kerabat D’Raja Kelantan serta pengumpul keris warisan,” katanya.
Antara keris asli Kelantan yang dipamerkan yang tertua ialah keris picit dipercayai berusia lebih 200 tahun di samping keris tok chu, keris pandai saras, keris bugis, keris cerita, keris beko dan banyak lagi.
Festival yang diadakan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024) dijangka dapat menarik ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk melihat sendiri keunikan serta kehebatan seni buatan keris diwarisi turun temurun.
Malah Institusi Kesultanan Melayu Kelantan sentiasa memberi sokongan dan dukungan agar warisan tersebut tidak ditelan zaman selain menjadi tatapan generasi muda serta kajian ilmiah dan penyelidikan institusi pengajian tinggi. – HARAKAHDAILY 14/7/2024











