
GOMBAK: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diberikan penegasan agar tidak sesekali menaikkan harga minyak petrol RON95.
Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, parti itu dan Perikatan Nasional akan terus menyuarakan perkara itu dalam membela rakyat.
“Kita akan memastikan perkara ini terus disuarakan oleh PAS dan juga oleh Perikatan Nasional dalam perjuangan ataupun dalam konteks untuk membela rakyat hari ini, insya-Allah,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian beliau ketika sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor ke-58 di Dewan Beringin di sini, hari ini.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak sebarang kemungkinan rasionalisasi subsidi akan dilaksanakan ke atas petrol RON95.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, bagaimanapun setakat ini belum ada kertas dasar yang membolehkan perkara itu dilaksanakan dengan cepat. – HARAKAHDAILY 14/7/2024











