
GOMBAK: Sokongan bukan Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) menunjukkan tanda yang positif, ujar Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri.
Beliau berkata, khususnya masyarakat Cina pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap memberikan isyarakat yang jelas kepada PN.
“Begitu hampanya dan kecewanya mereka ketika ini kepada kerajaan PH ini. Dan sokongan yang kita dapat di Sungai Bakap itu sangat penting kepada Perikatan Nasional,” ujarnya.
Beliau berkata demikian beliau ketika sidang media selepas perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor ke-58 di Dewan Beringin di sini, hari ini.
Ini, katanya membuktikan momokan yang dibuat oleh PH selama ini yang seolah-olah PN tidak akan mendapat sokongan daripada bukan Melayu adalah tidak tepat.
“Dan hari ini isu yang kita fokus dari isu rakyat yang terkesan ini bukan hanya orang Melayu, bahkan orang Cina, orang India dan (PRK) Sungai Bakap membuktikan sokongan itu telah pun diberikan kepada kita.
“Dan insya-Allah dalam konteks Selangor kalau keadaan ini masih lagi seperti hari ini dan kerajaan ini saya kira dia tidak boleh buat banyak perubahan kerana pergolakan dalaman mereka pun sangat kuat,” ujarnya yang juga ADUN Manjoi.
Tambahnya, perpecahan dalaman dalam kalangan pemimpin Kerajaan Madani sangat teruk ketika ini menyebabkan mereka tidak boleh bagi tumpuan kepada rakyat.
“Maka saya kira kerajaan ini tidak boleh lagi terus bertahan. Dan bolehlah button itu dipassing kepada PN kerana telah terbukti daripada sejarah kita, kita mampu untuk menguruskan negeri dan juga negara ini dengan sempurna dan baik.
“Dan saya yakin gelombang sokongan daripada rakan-rakan bukan Melayu ini, Cina, India ini akan terus meningkat, insya-Allah,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata negeri Selangor menjadi sasaran untuk dimenangi dan diambil alih daripada PH dalam Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.
Beliau berkata perkara ini sedang digerakkan oleh PAS dan Pemuda PAS negeri.
“Dan juga di peringkat nasional juga, saya mewakili Pemuda PAS Malaysia, kita sedang bergerak dengan begitu agresif ketika ini untuk memastikan gelombang sokongan rakyat ini terus berterusan kepada Perikatan Nasional, kepada PAS,” katanya.
Tambahnya, di sosial media seperti TikTok, Instagram dan Facebook pada hari ini, rata-rata anak muda tidak berpuas hati terhadap kerajaan sekarang.
“Dan Selangor atau negeri yang kita sasarkan sokongan itu akan semakin memuncak dan kalau Sungai Bakap pun boleh di Penang, Selangor lagilah boleh, dan itulah antara benda yang kita lihat ketika ini,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 14/7/2024











