
KOTA BHARU: PAS akan berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri sebagaimana biasa mengikut jadual yang telah ditetapkan sebaik sahaja selepas penamaan calon pada 3 Ogos depan.
Timbalan Pesurujaya PAS Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, PAS tetap berkempen macam biasa untuk mempertahankan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di DUN tersebut biarpun permohonan injunksi penuh yang difailkan bekas ADUN, Mohd Azizi Abu Naim bagi menghalang PRK yang akan didengar 7 Ogos.
Menurutnya, biarpun permohonan injunksi penuh yang dikemukakan Mohd Azizi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Jun lalu akan didengar 7 Ogos, namun PN akan meneruskan kempen PRK sebagaimana yang ditetapkan.
“Kita akan turun sebagai jentera kempen PN walau siapa dan dari parti mana calon kita yang akan bertanding nanti.
“Apa yang penting, kita nak pastikan kemenangan calon PN lebih bergaya sebagaimana DUN Sungai Bakap” katanya pada media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2023 Kerajaan Kelantan di Dewan Besar Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan, Tunjong, dekat sini hari ini.
Menyentuh tentang potensi di DUN Nenggiri, beliau menaruh keyakinan PN akan mempertahankan kemenanga.
PRK DUN Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos depan berikutan kerusi terbabit diisytiharkan kosong selepas bekas ADUN, Mohd Azizi didapati melangar Akta Anti Lompat Parti. – HARAKAHDAILY 14/7/2024











