
KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) akan menjadikan pelajar di bawah seliaannya sebagai ‘role model’ terutama pelajar tahfiz.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pendidikan Islam akan menjadi ‘benteng’ penyakit masyarakat khususnya di akhir zaman.
Menurutnya, bagi mencapai hasrat itu YIK melalui pengurusan tahfiz telah mengadakan beberapa siri kursus kepada guru-gurunya.
“Kursus profesionalisme tahfiz ini diadakan untuk memperkemaskan tadbir urus dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.
“Kita nak lahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja di peringkat akademik, tetapi juga sebagai penghafaz al-Quran,” katanya ketika ditemui selepas Majis Perasmian Kursus Ke Arah Peningkatan Profesionalisme Guru-Guru Maahad Tahfiz Yayasan Islam Kelantan di sebuah hotel, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Persidangan Pengetua Tahfiz, Azhar Mat Yusoff. Hampir 400 orang guru mengikuti kursus yang dianjurkan selama sehari itu.
Menurutnya, kerajaan negeri akan realisasikan hasrat almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ingin menjadikan pelajar tahfiz sebagai ‘idola’ masyarakat.
Justeru itu, katanya seminar, kursus seumpamanya diadakan pada tenaga pengajar agar memperturunkan ilmu-ilmu mereka pada pelajar.

Sementara itu, Timbalan Pengarah YIK (Kenaziran), Sukeri Hussin, mengucapkan tahniah kepada maahad tahfiz yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang.
Katanya, pada peperiksaan SPM 2023 yang telah diumumkan baru-baru ini, Maahad Tahfiz Al Quran Darul Saadah dan Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah telah mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) tertinggi bagi sekolah-sekolah YIK.
Katanya, dengan memperolehi GPS masing-masing sebanyak 1.98 dan 2.63 membuktikan pelajar tahfiz mampu mencipta kecemerlangan.
“Terima kasih kepada pengetua dan guru-guru yang telah menggembleng tenaga mengharungi proses pengajaran dalam norma baharu pada masa ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2024











