‘Anak Melayu juga boleh maju dan berjaya’

- Advertisement -

MARANG: “Usaha, kejujuran, kesungguhan, perancangan serta pengurusan yang baik, anak Melayu juga boleh maju dan berjaya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Beliau berkata, kejayaan itu dibuktikan oleh anak muda Terengganu, Nur Syahidin Abu Hasan yang menubuhkan syarikat DinSan bagi mengusahakan ladang ternakan ayam berteknologi moden di Kampung Temala.

“Berbekalkan modal kira-kira RM1.5 juta, ladang ayam DinSan secara close system mampu menghasilkan 25,000 ekor ayam bagi setiap pusingan. Kini telah masuk pusingan keenam. Syabas anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Latihan Ayam Dinsan, Kampung Temala, 18 kilometer dari sini, hari ini. (Foto atas)

Azman juga menyatakan bahawa Syarikat DinSan merancang untuk membina satu lagi reban ayam.

“Ini antara usahawan melayu yang berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi dalam perjalanan untuk berjaya,” katanya.

Beliau berkata, langkah seterusnya yang perlu diambil adalah melaksanakan kajian bagi melahirkan baka ayam sendiri.

“Jadi usaha kearah itu sebenarnya satu usaha yang memerlukan satu kesungguhan dan komitmen yang tinggi dan akhirnya sektor sekuriti makanan kita ini kita perlu kuasai dalam semua rantaian.

“Kita tidak boleh bergantung kepada pihak kedua atau ketiga yang akhirnya kita akan tersepit dalam situasi tertentu dan akan mati,” katanya.

Beliau berharap mudah-mudahan anak muda yang bersemangat tinggi seperti Nur Syahidin akan terus dibantu dan diberi sokongan untuk berjaya. – HARAKAHDAILY 14/7/2024

- Advertisement -