‘Rakyat tempatan kita santuni, pelabur asing kita alu-alukan’

- Advertisement -

MARANG: Skeptikal terhadap pelabur asing yang masuk ke negara ini seolah-olah kerajaan mengutamakan orang luar dan mengetepikan rakyat tempatan adalah tidak tepat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, setiap negara tidak dapat lari daripada foreign direct investment (FDI) kerana pelabur membawa modal, teknologi, kemahiran baru dan juga membuka peluang pekerjaan.

“Saya simpul dari konteks kerajaan Negeri Terengganu, rakyat tempatan, daripada kalangan kebanyakan kita santuni, dalam masa yang sama pengusaha dan pelabur asing juga kita alu-alukan sebab kita tidak boleh bergantung kepada satu sektor sahaja tapi kita perlu bergantung kepada banyak perkara cabang untuk membangunkan negeri kita.

“Setakat ini alhamdulillah pelabur asing dalam pertanian kita berada di atas landasan yang tepat. Contohnya pelaburan asing daripada McCormick Global penanaman lada hitam secara komersial di Lembah Bidong seluas 600 hektar, mereka patuh kepada apa yang telah kita persetujui bersama dalam MoU.

“Antaranya peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, syaratnya dibina kilang bagi kita tambahkan ruang dan peluang pekerjaan,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Ayam DinSan, Kampung Temala, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, peluang pekerjaan dalam MoU dipersetujui bersama McCormick tidak kurang daripada 70 peratus mestilah rakyat negeri ini.

“Setakat ini apa yang mereka masukkan pekerja hampir 90 peratus rakyat Terengganu, jadi lebih daripada hak lantai yang kita tetapkan.

“Bila mereka boleh patuh kepada syarat-syarat yang kita tetapkan ia masuk dalam tiga soalan utama yang akan saya tanya apabila ada pelabur yang datang kemuka proposal atau cadangan projek kita minta pelabur nyatakan apa yang mereka nak buat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak disisihkan sebaliknya kerajaan negeri menyediakan sokongan modal untuk rakyat tempatan melalui skim pinjaman modal tani dan pelbagai bantuan teknikal.

“Kita bercakap dengan pelabur jangan campur aduk dengan fokus kita untuk bantu usahawan tempatan, kedua-dua ini kita tidak boleh abaikan dan mesti berjalan serentak,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan bahawa selain McCormick, kerajaan negeri kini sedang menerima beberapa pelabur yang genuine investor.

“Pelabur yang datang dengan proposal jelas, mereka mengemukan perancangan perniagaan, ada syarikat daripada Korea yang datang untuk buka ladang ternakan ayam bersekali dengan ladang solar yang kita panggil agrivoltaic, ada pelabur yang datang untuk buat ladang lada besar-besaran pun kita tengah proses.

“Terbaru ada satu syarikat yang datang untuk buat ternakan ikan talapia secara komersial di Tasik Kenyir dalam bentuk sangkar dan kita telah buat perbincangan awal lawatan tapak, kerajaan negeri dalam proses pengezonan sebahagian daripada kawasan di Tasik Kenyir sebagai zon industri aquaculture bagi kita memudahkan lagi untuk usahawan pelaburan masuk dan memanfaatkan keadaan geografi Tasik Kenyir itu bagi pengembangan industri aquaculture,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2024

- Advertisement -