Kelantan tunggu laporan isu ‘magic mushroom’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedang menunggu laporan lengkap daripada Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berkaitan isu membabitkan pelajar yang dikesan menghisap rokok elektronik (vape) yang dicampur dengan dadah sintetik dikenali ‘magic mushroom’.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri bimbang terhadap perkembangan ‘magic musroom’ yang merupakan perkara baru melanda anak muda di negara ini.

Menurutnya, kerana itu kerajaan negeri melahirkan rasa bimbang sekiranya anak-anak Kelantan khususnya pelajar sekolah turut terjebak dengan gejala itu.

Kata Fadzli, pihaknya turut meminta pengurusan YIK mengumpul data serta mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu bukan hanya kepada pelajar sekolah alirannya tetapi juga JPN.

“Bagaimanapun kita berharap perkara ini tidak melanda anak-anak kita di Kelantan kerana ianya boleh merosakkan masa depan mereka.

“Ia adalah perkara baharu yang kadang-kadang pelajar tidak tahu mengenai campuran dadah sintetik di dalam rokok elektronik sehingga menyerap masuk dalam institusi keluarga dan merosakkan negara serta masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2023 Kerajaan Kelantan di Dewan Besar Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan, Tunjong, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat dan Pengarah YIK, Nik Mohd Hasanuddin Nik Hussain.

Seramai 1,086 orang pelajar cemerlang 2023 diraikan pada majlis berkenaan yang turut dihadiri ibu bapa pelajar.

“Kerajaan negeri juga menubuhkan satu task force iaitu jawatankuasa khas sejak empat tahun lalu bagi menangani isu gejala sosial yang membabitkan 19 agensi kerajaan negeri serta Persekutuan dan dibahagikan kepada beberapa kluster,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar cemerlang SPM, Mohd Aiman Shafiq Che Azhari, 18, dari Sekolah Menengah Agama Melor, menggamatkan Dewan Besar YIK apabila menyahut seruan Fadzli yang meminta pelajar naik ke pentas untuk menceritakan berkenaan bahayanya ‘magic mashroom’. (Foto)

Fadzli pada mulanya menyeru mana-mana pelajar yang tahu maklumat berkenaan cecair tersebut naik ke pentas dan akan dihadiahkan RM50.

“Cecair ini jika dicampurkan dalam vape memang bahayalah dan kita akan terus jadi khayal dan tak ingat apa-apa selepas sedut vape, itu orang cakaplah, saya tak tahu,” ujar Aiman sebaik sahaja tiba di pentas menyebabkan dewan menjadi riuh rendah.

Dewan sekali lagi gamat apabila Fadzli menyerahkan wang kertas kepada Mohd Aiman. – HARAKAHDAILY 14/7/2024

- Advertisement -