
NIBONG TEBAL: Kemenangan calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Abidin Ismail adalah milik semua terutama para petugas yang datangnya dari seluruh tanah air, kata Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.
“Saya mewakili PAS Pulau Pinang mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh jentera dan petugas PRK N.20 DUN Sungai Bakap, terutama daripada negeri-negeri bantu.
“Mereka datang dari pelusuk tanah air termasuk Sabah dan Sarawak yang sanggup berkampung di DUN Sungai Bakap sejak hari penamaan calon 22 Jun lalu dan ada yang sebelum itu lagi.
“Petugas dari negeri bantu bukan sahaja menunjukkan komitmen terbaik membantu pada PRK ini malah kami dapat belajar daripada mereka, contohnya negeri Kelantan yang bertugas di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Bakap.
“Begitu juga Kedah, yang bukan sahaja membantu dari segi dana, malah tunjuk ajar serta selok-belok gerak kerja pilihan raya kepada kami di Pulau Pinang ini,” katanya.
Jelas beliau lagi, bantuan dari petugas luar Pulau Pinang amatlah bermakna kepada PAS negeri ini memandangkan petugas tempatan kebanyakannya bekerja di industri dan tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya kepada PRK ini.
Dalam pada itu kata Iszuree, peranan yang dimainkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat di bawah Dr Halimah Ali serta Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan lain-lain sangat membantu khususnya mengatur gerak kerja bertemu pengundi bukan-Melayu.
“Tanpa usaha dan bantuan daripada pelbagai pihak tentulah sukar bagi kami untuk berhadapan dengan cabaran yang besar pada PRK ini. Pada PRK ini, PN bukan bertembung atau berhadapan dengan jentera parti PH, sebaliknya jentera kerajaan,” tambahnya.
Dengan komiten yang tinggi itu ujarnya, Abang Abidin menang dengan majoriti agak selesa iaitu 4,627 undi walaupun jangkaan asalnya hanya sekitar 2,000 undian ke bawah.
Kemenangan Abang Abidin di DUN Sungai Bakap kata beliau, bukan sahaja dapat meneruskan legasi Arwah Abang Zam dan memperjuangkan isu-isu rakyat, malah sebagai penyemak imbang mewakili Seberang Perai Selatan. – HARAKAHDAILY 7/7/2024











