Rakyat berani nyatakan rasa kecewa melalui kertas undi

Razman Zakarian dan Abidin Ismail.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemenangan Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap semalam membuktikan rakyat kecewa terhadap prestasi Kerajaan PH-BN.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, ini menunjukkan rakyat berani menyatakan perkara tersebut melalui kertas undi.

Menurutnya, kemenangan dengan penambahan majoriti melalui sokongan luar biasa anak muda adalah isyarat awal PRU16.

Tambahnya, ia juga isyarat awal terhadap enam kerusi Parlimen yang sedang menanti keputusan Speaker Dewan Rakyat.

“Sudah tentu ianya kemenangan untuk rakyat yang menanti saat dan peluang mengajar Kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai sebuah parti dan negeri berjiran dengan Pulau Pinang, tentunya PAS Perak sangat berbangga dengan kejayaan itu.

Sokongan dan dukungan dari PAS Perak, ujarnya telah ditunjukkan seawal perisytiharan kerusi Sungai Bakap mula dikosongkan.

“Jentera berupa tenaga dan kewangan telah difokuskan ke DUN Sungai Bakap untuk memastikan kemenangan lalu dikekalkan.

“Sekalung tahniah dan terima kasih diucapkan kepada seluruh tenaga jentera Perak yang berulang alik ke DUN Sungai Bakap tanpa lelah dan semangat juang yang tinggi.

“Terima kasih juga diucapkan kepada ahli dan pendukung PAS yang menyumbangkan wang ringgit walaupun tidak dapat berjuang di medan PRK Sungai Bakap,” katanya.

Tambahnya, tidak ketinggalan kawasan-kawasan PAS di seluruh negeri Perak yang turut menganjurkan munajat selain sumbangan wang dan tenaga.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga buat rakan Perikatan Nasional dari Perak terutama Bersatu dan Gerakan yang menunjukkan kesatuan yang padu dalam PRK ini.

“Semoga semua ini dinilai dan diganjari dengan pahala jihad oleh Allah SWT. PAS Perak menzahirkan kesyukuran kepada Allah atas kemenangan PAS yang mewakili Perikatan Nasional dalam PRK yang diumumkan,” kata beliau.

Pada PRK DUN Sungai Bakap semalam, calon PN, Abidin Ismail memperolehi 14,489 undi menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -