Palestin dalam PRU United Kingdom 2024

- Advertisement -

RAKYAT United Kingdom (UK) akan mengundi kerajaan yang baru pada 4 Julai ini dalam pilihanraya umum UK 2024. Berdasarkan kempen-kempen yang dianjurkan oleh setiap parti politik, pilihanraya kali ini akan menyaksikan ramai calon bebas atas kesedaran memperjuangkan kebebasan negara Palestin daripada cengkaman rejim zalim Israel. Hal ini kerana parti-parti politik utama seperti parti Conservative dan Labour telah gagal untuk menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin malah memberikan sokongan kepada rejim Israel.

- Advertisement -

Antara parti yang menunjukkan sokongan kepada nasib rakyat Palestin adalah Workers Party of Britain yang diasaskan dan dipimpin oleh pejuang pro-Palestin yang agak terkenal iaitu George Galloway. Beliau merupakan seorang ahli politik British kelahiran Scotland yang baru sahaja menang sebagai wakil rakyat untuk kawasan Rochdale (salah sebuah tempat di utara Manchester) dalam pilihanraya kecil awal tahun ini. Beliau juga pernah menyertai parti Labour tetapi kemudiannya dipecat pada tahun 2005 kerana menunjukkan sokongan kepada negara Iraq dalam kemelut sekitar tahun itu.

Pilihan Raya Umum kali ini juga bakal menyaksikan beberapa calon daripada rakyat British kelahiran Palestin. Mereka bukan sekadar aktivis dalam isu hak rakyat Palestin tetapi mereka terdiri daripada golongan profesional. Salah seorangnya adalah Khalid Abu-Tayyem yang merupakan seorang doktor onkologi dan sudah bekerja selama 23 tahun bersama National Health of Service (NHS). Di samping isu kemelut Gaza, beliau bertekad untuk memperbaiki intitusi NHS yang agak teruk kebelakangan ini. Calon-calon Palestin yang lain terdiri daripada profesor kejuruteraan, wartawan, pengarah teater dan CEO.

Selain Workers Party of Britain, parti-parti politik yang lain seperti Green Party dan Liberal Democrats adalah antara parti yang menyokong pembebasan negara Palestin. Mereka telah membuat kenyataan media awal tahun ini supaya kerajaan UK mendesak rejim Israel untuk hentikan pembunuhan rakyat Palestin dan gencatan senjata. Sebaliknya pemimpin-pemimpin parti utama seperti Conservative dan Labour masih berpendapat bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan negara mereka atau right to defend itself.

Berdasarkan kempen-kempen yang telah dijalankan dan manifesto yang dikeluarkan oleh setiap parti politik, pilihanraya umum UK kali ini agak menarik untuk dilihat dan dikaji kerana isu global seperti konflik Israel-Palestin tampak signifikan berbanding pilihanraya-pilihanraya sebelum ini. Semestinya dalam manifesto mereka ada menjanjikan pelan dan strategi untuk masa depan Britain yang lebih cerah tetapi isu Palestin juga dilihat memainkan peranan yang agak penting dalam memilih kerajaan yang baru kali ini. Sebagai contoh, kita dapat lihat poster-poster yang dikeluarkan oleh parti politik dan media massa yang meletakkan sokongan dalam isu Palestin sebagai kayu ukur atau faktor perbandingan.

Rakyat British yang beragama Islam kebiasaannya akan mengundi parti Labour setiap kali pilihanraya diadakan kerana parti itu dilihat lebih mesra dengan orang Islam setelah sekian lama tetapi kali ini kemungkinan besar tidak lagi. Dalam beberapa temu ramah dengan pengundi tegar parti Labour oleh Al Jazeera, mereka telah bertekad untuk tidak mengundi parti tersebut lagi kerana parti itu menyokong rejim Israel. Mereka menjangkakan akan mengundi samada Green Party atau Liberal Democrats walaupun kemungkinan besar tidak dapat menang majoriti.

Di samping isu Palestin, pilihan raya UK kali ini juga agak menarik untuk disaksikan kerana kebanyakan rakyat UK tidak lagi yakin dengan kredibiliti kerajaan dan muak dengan mana-mana parti politik. Mereka memilih untuk undi bantah atau protest vote bagi memberi mesej kerana tidak berpuas hati dengan situasi politik negara. Di UK, protest vote tidak dikira sebagai undi rosak dan akan disebarkan dalam media massa serta direkod dalam laporan rasmi jika jumlah undi bantah adalah signifikan. Ada juga yang berfikir untuk mengundi parti Labour, bukan kerana menyokong parti tersebut tetapi hanya kerana tidak suka dengan prestasi kerajaan sekarang iaitu parti Conservative. Apapun semoga nasib rakyat Palestin akan terbela hasil daripada keputusan pilihanraya UK kali ini dengan izin dan kekuasaan Allah SWT…ameen.

SHAHEER SHAHIDAN
Kelab PAS United Kingdom (KPUK)
HARAKAHDAILY 4/7/2024

PENAFIAN:
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -