
KUALA LUMPUR: Peningkatan kesedaran orang awam mengenai penipuan kewangan dan proses pembekuan transaksi haram perlu dipercepatkan yang memerlukan langkah jangka panjang dirangka oleh menteri melalui Penubuhan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, ini berikutan isu penipuan kewangan yang telah memberikan kesan sangat besar kepada masyarakat.
“Sejauh mana keberkesanan penggunaan ciri kill switch sebagai kaedah untuk melindungi dana pengguna daripada scam atas talian,” ujar beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman dalam jawapannya berkata, undang-undang yang berkaitan masih tidak ada.
Beliau berkata, namun apablia dilihat kepada jangka masa panjang, mesyuarat jawatankuasa kerja cadangan penggubalan undang-undang baru berkaitan dengan kemudaratan jenayah dalam talian telah ditubuhkan oleh kerajaan.
“Dan dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Komunikasi serta saya di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang dan juga Menteri Digital.
“Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak tiga kali daripada 5 Februari, 13 Mac, 14 Mei dan insya-Allah setelah diperbincangan dan diperhalusi perancangan dengan kelulusan Kabinet diharapkan bahawa undang-undang yang menyeluruh untuk jenayah dalam talian.
“Bukan sahaja kes-kes jenayah scammer kewangan, jenayah artificial intelligent (kecerdasan buatan), jenayah-jenayah seksual, jenayah deep fake.
“Ini semua semua aspek jenayah ni kita nak mewujudkan satu seminar undang-undang sebelum ini insya-Allah pada bulan 9 dan saya berharap jika Kabinet meluluskan dari segi dasar dan undang-undang baru yang digubal itu boleh dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang insya-Allah pada bulan Oktober 2024,” kata beliau.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji (PH-Jelutong) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah status penggubalan perundangan berkenaan kesalahan berhubung dengan akaun mule serta bagaimanakah perundangan ini dapat menangani peningkatan fraud kewangan dalam talian yang membimbangkan dalam negara berikutan perkembangan teknologi moden. – HARAKAHDAILY 4/7/2024











