
KOTA BHARU: Sambutan masyarakat terhadap dinar dan dirham Kelantan berkembang dengan nilai jualan lebih RM120 juta sejak tahun 2010.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, nilai jualan itu meliputi 90,000 dinar atau syiling emas dengan berat 4.25 gram dan ketulenan 917.
Manakala hampir satu juta jualan dirham atau syiling perak seberat 2.975 dengan ketulenan 999.
“Sekarang, satu dinar bernilai RM1,585 dan harganya dijangka meningkat mengikut harga semasa.
“Lebih membanggakan KGT membuat pembelian semula dinar-dinar di pasaran dari penyimpan berjumlah RM14 juta,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Cawangan Operasi Dinar Dirham dan Kempen Simpanan Progresif Penjawat Awam Kerajaan Negeri Kelantan di sini semalam.
Tambahnya, KGT berbuat demikian dengan tujuan memudahkan pelanggan yang hendak wang tunai dengan menjual balik dinar tersebut.
Sebelum itu ketika berucap Dr Mohamed Fadzli berkata, KGT akan memeterai memorandum perjanjian (MOA) dengan Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dan Koperasi Permodalan Kelantan (KoPKB) bagi memperluaskan pasaran dinar dan dirham.
Kata beliau kerjasama itu untuk menjadikan kaunter Ar Rahnu di bawah kelolaan kedua-dua agensi terbabit sebagai cawangan wakalah KGT.
“Wakalah itu akan disediakan di cawangan PKB, KoPKB dan Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA).
“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, kita akan dapat merealisasikan matlamat untuk menjadikan dinar emas sebagai instrumen kewangan yang dominan di Kelantan, seterusnya menyumbang kesejahteraan ekonomi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/7/2024











