‘Lihat laporan audit, tiada asas jual MAHB kepada syarikat asing’

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan kewangan yang telah diaudit bagi Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) menunjukkan syarikat tersebut berada dalam situasi yang kukuh dan tidak bermasalah.

- Advertisement -

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) berkata, dengan melihat pada petunjuk-petunjuk pada laporan tahunan syarikat menjadikan tidak ada asas untuk kerajaan menjual sebahagian kepentingannya kepada GIP-BlackRock.

“Saya angin ingin mengambil contoh apa yang berlaku dalam konteks Malaysia Airport Holding Berhad. MAHB ni telah diaudit. Akaun MAHB tahun 2023 menunjukkan keuntungan RM543 juta. Kalau tengok baki tunai MAHB pada akhir 2023 ada RM1.85 bilion.

“Tetapi pertimbangan ini tidak diambil kira langsung oleh kerajaan. Potensi MAHB di masa depan tidak diambil kira langsung oleh kerajaan dalam konteks kerajaan hendak menjual satu blok besar 30 peratus MAHB kepada syarikat asing,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Audit (Pindaan 2024) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnyai, dalam prinsip audit, laporan yang telah disedia dan disiapkan perlu digunakan kerana ia melibatkan pelbagai kos.

Beliau turut mencabar semua pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang perakaunan atau kewangan untuk menyemak laporan tahunan MAHB yang telah diaudit untuk menunjukkan bukti sekiranya terdapat masalah pada syarikat itu sehingga ia perlu diserahkan sebahagian pegangannya pada GIP-BlackRock.

“Tidak ada asas langsung. Buka akaun, semak satu persatu. Saya cabar mereka di luar sana yang ada kemahiran dalam bidang perakaunan, kemahiran dalam bidang kewangan, tengok betul-betul MAHB.

“Just be frank to yourself. Kalau tak jual pada asing pun MAHB masih boleh buat untung, masih ada masa depan yang amat cerah. Melihat peningkatan jumlah pengguna lapangan terbang,” ujarnya.

Tambahnya, Rang Undang-undang Audit (Pindaan) itu sangat penting bertujuan untuk membolehkan skop audit Jabatan Audit Negara diperluaskan demi menjaga wang awam.

Beliau turut mengingatkan kerajaan bahawa terdapat 39 buah lapangan terbang milik MAHB yang sebelum ini dibiayai pembangunannya dengan wang awam dan tidak wajar ia diserahkan kepada pihak asing.

“39 airport yang dibina dengan menggunakan wang awam ini adalah milik rakyat Malaysia. Kenapa kita nak bagi, kita sudah spend pada 39 lapangan terbang, kita nak bagi orang lain dapat untung daripada hasil tersebut?” soalnya.

Itu, menurut beliau, belum lagi mengambil kira persoalan tentang lapangan-lapangan terbang itu sebagai aset strategik negara.

“Pergi baca laporan audit. Jika kita lihat laporan audit itu membuktikan tidak ada asas untuk kerajaan menjual satu blok besar 30 peratus MAHB pada syarikat asing,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -