Tindakan tegas individu melombong emas secara haram

Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didakwa melombong emas secara haram di Sungai Relai, Taman Negara Kelantan di Gua Musang.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri menyerah siasatan berkait kes berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Sekiranya dibuktikan benar berlaku kes kecurian emas, saya minta tindakan tegas diambil.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap perkara itu kerana semua galian tersebut harta rakyat dan kerajaan negeri,” katanya selepas Majlis Pelancaran Cawangan Operasi Dinar Dirham dan Kempen Simpanan Progresif Penjawat Awam Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Baru-baru ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dilapor mendedahkan kegiatan melombong secara haram di Taman Negara Kelantan.

Media melaporkan dua lelaki warga asing diberkas pihak berkuasa menerusi Operasi Bersepadu Khazanah kerana melombong emas secara haram.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kerajaan negeri menunggu laporan isu berkaitan daripada agensi penguat kuasa yang melakukan siasatan.

Menurutnya juga kerajaan negeri mempunyai prosedur yang perlu dipatuhi mana-mana pihak yang berhasrat melaksanakan aktiviti perlombongan hasil bumi termasuk emas. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -