Kumpulan Soul Al Ranan johan Festival Nasyid MASSAK

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kumpulan Nasyid Soul Al Ranan dari Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Bustanus Saadah Morak muncul johan pertandingan Festival Nasyid Majlis Sukan Sekolah-sekolah Agama Kelantan (MASSAK).

- Advertisement -

Soul Al Ranan mengalahkan kumpulan Soutul Huffaz bagi kategori lelaki.

Dengan kemanangan itu Soul Al Ranan membawa pulang piala, sijil penyertaan dan hamper. Kumpulan terbabit juga akan mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan pertandingan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM).

Pertandingan akhir akan berlangsung di Johor Baharu pada 13 September hadapan.

Kumpulan Soul Al Ranan turut menang anugerah persembahan solo terbaik melalui suara solonya, Adam Daniel Dusuki, 15.

Tempat kedua festival nasyid kategori lelaki disandang Soutul Huffaz dari Maahad Tahfiz Al Quran Pulai Chondong dan ketiga, Maahad Sains Tok Guru Pengkalan Chepa.

Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Ko-Kurikulum), Azman Hussin berkata, sebanyak 13 pasukan kategori lelaki berentap untuk merebut juara.

Manakala kategori perempuan yang berlangsung pada sebelah pagi melibatkan 14 pasukan.

Beliau turut mengingatkan jurulatih memahami peraturan dan garis panduan yang ditetapkan terutamanya mematuhi masa bagi setiap persembahan.

“Jurulatih dan pihak sekolah yang mengendalikan latihan nasyid mesti peka dengan syarat-syarat yang ditetapkan,” ujarnya ketika ditemui petang semalam.

Sementara itu, Pengetua SMU (Arab) Bustanus Saadah Wan Fakhrulrazi Wan Mahmood melahirkan rasa syukur di atas kemenangan yang tidak diduga itu.

Katanya, beliau tidak menduga sekolahnya akan muncul johan festival nasyid tahun ini.

“Saya merakam ucapan terima kasih kepada semua peserta nasyid dan guru pembimbing kerana berjaya menjadi juara baru tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -