
KOTA BHARU: Kelantan merupakan negeri pertama menguatkuasakan dasar pensijilan halal bagi beberapa kategori industri untuk mendapatkan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keushawanan negeri, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, peraturan itu selari dengan dasar kerajaan negeri Membangun Bersama Islam (MBI).
“Premis-premis di Kelantan yang terpilih perlu memiliki sijil halal sekiranya ingin memperbaharui lesen perniagaan mereka.
“Kerajaan negeri juga menggalakkan dan memberi sokongan pemain industri mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia,” katanya ketika merasmikan Seminar Pensijilan Halal Malaysia, Sistem Pengurusan Halal Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) Anuar Al Sadat Noor dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Halal JAKIM Rasyidah Che Wil.
Md Anizam juga berkata, kerajaan negeri akan membantu usahawan dengan memberi penerangan, informasi dan bimbingan berkenaan pensijilan halal.
Selain itu merancang mengadakan program bantuan pembiayaan pensijilan halal bagi industri kecil dan mikro memandangkan ia begitu penting.
“Sekiranya premis sudah mendapat sijil halal pemiliknya hendaklah menjaga sebaiknya dengan mematuhi syarat ditetapkan supaya kekal sijil berkenaan masa hadapan,” ujarnya.
Menurutnya juga sehingga Jun 2024 sebanyak 411 premis pelbagai segmen perniagaan di Kelantan memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia dari JAKIM. – HARAKAHDAILY 3/7/2024











