
KUALA LUMPUR: Kuasa sangat besar diberi kepada Menteri Kewangan untuk mengarah Ketua Audit Negara melakukan audit terhadap sesuatu organisasi termasuk syarikat kepentingan kerajaan dibimbangi berlaku ‘audit terpilih’.
Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata, kuasa yang besar memerlukan semak imbang untuk menyekat digunakan untuk kepentingan politik.
“Saya tertarik dengan apa yang disampaikan YB Pasir Gudang semalam berkenaan prinsip pemisahan jawatan di antara Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Pemisahan itu penting untuk memastikan kewangan negara berada di landasan yang betul,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Audit (Pindaan 2024) di Dewan Rakyat hari ini.
Rang undang-undang itu memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan termasuk syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016.
Amzad juga berkata, ada dalam kalangan masyarakat sudah biasa dengan istilah selective prosecution di mana pendakwaan dilakukan secara terpilih.
“Janganlah nanti difahami oleh rakyat selective prosecution boleh juga bermaksud audit secara terpilih yang tidak bersangkut paut kepentingan awam,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan tentang sejauh mana kebebasan dimiliki Ketua Audit Negara untuk menjalankan tugas tanpa pengaruh politik.
Kata beliau apa jaminan kebebasan kepada Ketua Audit Negara melaksanakan fungsi dan tugasnya tanpa dipengaruhi unsur politik.
“Ini kerana perluasan kuasa yang diberikan sangat luas dan pastinya bergantung kepada asas penentuan dan audit terpilih, selektif audit yang akan diputuskan Ketua Audit Negara,” ujar beliau.
Selain itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan sejauh manakah pendekatan audit mengikut wang awam dapat memastikan pengesanan wang awam atau public financial money trail dijalankan secara lebih berkesan. – HARAKAHDAILY 3/7/2024











