
KUALA TERENGGANU: Penganjuran Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024 yang diadakan bermula 28 hingga 30 Jun berjaya menarik lebih daripada 3,000 peserta dari seluruh pelosok tanah air dan luar negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program itu bukan sahaja menarik kehadiran peserta dari Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan Romania bahkan juga membawa ramai pengunjung ke negeri ini.
“Sudah pasti program sebegini akan membawa ramai pengunjung dari dalam dan luar negeri yang sekali gus akan memberikan limpahan ekonomi kepada para usahawan dan peniaga di Terengganu, terutamanya sektor pelancongan dan perusahaan kecil sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Gala sempena Perasmian Penutup TIBW 2024 di Dataran Shahbandar, di sini, malam tadi. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.
Untuk rekod, program TIBW 2024 turut disertai booth pameran daripada Jabatan Pelancongan, Rejimen 512 AW, pejabat daerah, muzium dan agensi-agensi yang mengetengahkan kebudayaan negeri.
Terdapat juga persembahan kebudayaan daripada daerah-daerah, persembahan stunt show profesional dari Kuala Lumpur dan Indonesia, persembahan Colours of Malaysia (tarian kebudayaan di Malaysia), wayang kulit dan dikr barat.
Selain itu, pelbagai aktiviti keagamaan dan kerohanian dianjurkan dalam program kali ini seperti Solat Hajat dan Maulid Akbar, TIBW Berselawat bersama Ustaz Syed Abdul Matyn Al-Aydrus, Sembang Santai Bersama Ustaz Azhar Idrus termasuk sumbangan MAIDAM kepada asnaf serta kutipan derma untuk anak yatim dan anak kurang upaya.
Sehubungan itu, Ahmad Samsuri merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur dan semua pihak termasuklah jabatan kerajaan, para penaja, pihak swasta, NGO serta semua pihak yang telah terlibat sama ada secara langsung dan tidak langsung bertungkus lumus dalam menjayakan TIBW 2024.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada semua peserta dan pengunjung yang hadir dari seluruh pelosok Malaysia mahupun dari luar negara.
“Jangan sesekali rasa serik untuk datang ke Terengganu. Kami di Terengganu sentiasa terbuka menyambut kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2024











