
NIBONG TEBAL: Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dicabar untuk mendaftarkan gabungan parti itu atas nama ‘Perpaduan’ sekiranya mereka benar-benar ikhlas membawa agenda tersebut kepada rakyat dan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Datuk Arif Shah berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program Anak Muda PN Rempuh di Taman Widuri, di sini semalam.
Menurut beliau, hakikat perpaduan dalam kalangan parti gabungan tersebut hanyalah ungkapan dan perhiasan yang menjadi retorik diketengahkan kepada semua, tetapi hubungan sebenarnya sangat dipersoalkan.
Hal tersebut ujarnya, berbeza dengan PERIKATAN NASIONAL (PN) yang sudah membuktikan gabungan pelbagai parti ini memiliki kesatuan dalam kalangan ahli mahupun kepimpinannya di semua peringkat.
“PN adalah gabungan yang sepakat dan muafakat. Tak perlu memakai lambang berbeza seperti PH dan BN. Kita ada satu lambang yang didukung iaitu PERIKATAN NASIONAL.
“Wakil rakyat kita pun tak perlu menjadikan kesatuan kita untuk menunjuk-nunjuk (berlakon). Sebaliknya perpaduan sesama kita telah dibuktikan pada PRU15 lalu dan diteruskan pada PRN15,” ujarnya.
Beliau turut membidas sikap pemimpin-pemimpin PH dan BN yang sedang menunjuk-nunjuk kononnya jasa mereka kepada rakyat sepanjang kempen PRK N.20 DUN Sungai Bakap ketika ini.
Izhar Shah berkata, pemimpin dan ahli PN pula tidak perlu bersikap demikian kerana gerak kerja mereka ketika ini adalah menyantuni dan mengambil maklum keadaan semasa penduduk.
Beliau menyeru para pengundi DUN Sungai Bakap memilih calon PN, Abidin Ismail atau Abang Abidin dalam menunaikan tanggungjawab memilih pada pembuangan undi 6 Julai depan.
Dalam ucapannya itu, beliau malah melahirkan rasa kesal dengan pemimpin-pemimpin PH yang tidak berani menyatakan mengenai janji-jani manifesto tidak ditunaikan mereka. – HARAKAHDAILY 30/6/2024











