PAS Selangor perlu perancangan strategik hadapi PRU16

Dato’ Dr Ab Halim Tamuri
- Advertisement -

KLANG: PAS perlu bersedia menjadi sebuah parti arus perdana yang perlu dijadikan contoh oleh pihak lain dan memperkemaskan kerja dakwah, siasah dan tarbiah Badan Perhubungan Negeri Selangor selari dengan hala tuju PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, adalah penting bagi PAS membangunkan perancangan yang strategik dan merangka program dan aktiviti yang bersesuaian dengan konteks negeri Selangor bagi berdepan dengan PRU16.

“Kita kena merancang secara strategik bagaimana kita nak memenangi PRU16, dan pastinya Muslimat mempunyai peranan yang sangat besar kerana separuh daripada pengundi di Selangor adalah muslimat yang perlu kita dekati sebaik mungkin,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor kali ke-37 di sini, hari ini.

Turut hadir dalam muktamar yang bertemakan ‘Islam Teras Penyatuan Ummah’ berkenaan adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Sabirin Marsono, pemerhati daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia, Zuraida Md Noor dan Norhafiza Fadzil serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Ustaz Noor Najhan Salleh.

Tambah Abdul Halim, PAS negeri perlu membuat model dan gerak kerja sendiri dan tidak boleh ‘copy paste’ apa yang dilakukan oleh empat negeri dipimpin PAS iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Ini, ujarnya kerana Selangor mempunyai keadaan dan masyarakat yang berbeza berbanding empat negeri tersebut.

“Di setiap daerah di negeri Selangor ini berbeza. Keadaan di Sabak Bernam tak sama dengan Tanjung Karang. Tanjung Karang tak sama dengan Gombak. Gombak tak sama dengan Bangi. Bangi tak sama dengan Sepang.

“Sebab itu kena merangka strategi terbaik untuk bagaimanakah kita mendekati rakyat supaya kita dapat memahamkan mereka bahawa perjuangan kita adalah untuk menjaga rakyat yang ada di negeri kita dengan sebaik mungkin,” ujarnya yang juga ADN Paya Jaras. 

Menurutnya lagi, pada PRU16 akan datang, Selangor akan menjadi negara tumpuan dan Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS perlu memenanginya dengan menjadi sebuah parti utama negara yang memahami rakyat di bawah berkonsepkan ‘Adil, Prihatin dan Berkebajikan’.

“Orang PAS, pada saya, tanggungjawab kita adalah ‘be the best, beat the rest’. Kita kena pastikan PN menjadi satu parti yang ‘be the best’.

“Pastikan kita menjadi parti yang ‘tip top’, Parti mesti menguasai masyarakat sebelum kuasai kerajaan, dan yang paling penting dalam konteks negeri Selangor, pastikan kita kukuhkan Perikatan Nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -