
KLANG: Muslimat PAS digesa memperkemaskan penyatuan ummah, memantapkan tarbiah dan meningkatkan kemahiran diri serta kepimpinan di seluruh peringkat lapisan cawangan dan kawasan.
Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, terdapat sembilan aspek penting yang mesti ditekankan untuk memperkasakan gerak kerja muslimat, antaranya memperkemaskan hubungan dengan rakan strategik demi memperkukuhkan penyatuan ummah.
“Eratkan hubungan dengan rakan strategik yang terdiri dari pelbagai pihak sama ada dari badan politik, NGO dan individu bukan kerajaan secara aktif supaya penyatuan ummah dapat direalisasikan,” ujarnya semasa menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Selangor kali ke-37 di sini, hari ini.
Muktamar yang bertemakan ‘Islam Teras Penyatuan Ummah’ itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri. Turut hadir ialah pemerhati daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia, Zuraida Md. Noor dan Norafiza Fadzil.
Wan Hasrina juga menekankan muslimat mesti menjadikan usrah yang telah disusun mengikut manhaj menjadi aktiviti wajib yang mesti diikuti serta menyediakan laporan perjalanan usrah yang lengkap di kawasan agar terlestari tarbiah sebagai asas perjuangan.
Di samping itu, ujarnya memaksimumkan penglibatan muslimat muda ke seluruh program dalaman dan luaran parti di seluruh cawangan bagi memastikan sokongan pengundi muda kepada Perikatan Nasional (PN) tidak berubah.
“Muslimat PAS juga mesti menonjolkan pemimpin yang berkaliber ke hadapan rakyat, memandangkan rakyat hari ini mendambakan ikon pemimpin yang berkarisma dan berkualiti terdiri dari muslimat yang profesional.
“Seterusnya, aspek memperkasakan ekonomi wanita dan keluarga agar muslimat tidak bergantung ekonomi dan duit poket dari suami dan orang lelaki sahaja, malah dari perekonomian ini muslimat mampu memberi dana dan menyumbang infaq untuk perjalanan program parti yang berjalan setiap masa,” katanya.
Tambahnya, muslimat juga dinasihatkan agar bersedia menghadapi segala cabaran kini dan akan datang sama ada cabaran dalaman kepimpinan melalui visi kepimpinan, komunikasi, kemahiran berfikir dan strategik, daya tahan dan kebolehsesuaian dan cabaran menyediakan pelapis.
“Tidak lupa cabaran dari luar organisasi itu sendiri, untuk tingkatkan kesedaran politik kalangan wanita, cabaran sosioekonomi yang berbeza, persepsi negatif terhadap jemaah islam, serta keganasan terhadap wanita,” ujarnya.
Muslimat juga, kata beliau diarah agar bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 kerana dijangkakan penggal kepimpinan yang mungkin terpendek untuk kali ini berikutan berlaku ketidakstabilan dan semakin kritikal.
Selain itu, ujarnya muslimat juga diarahkan agar mengikuti 10 arahan kerja pilihan raya yang telah digariskan dan diterapkan ke cawangan masing-masing agar momentum muslimat sentiasa dalam mood bekerja dan PN dapat dikekalkan kemaraan dalam kalangan rakyat. – HARAKAHDAILY 30/6/2024











