Zionis Israel perlu terus ditekan di forum antarabangsa

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) digesa bersama-sama dengan semua pihak antarabangsa agar terus menekan rejim Zionis Israel yang secara terang-terangan melanggar prinsip hak asasi manusia.

- Advertisement -

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, kerajaan dan Suhakam digesa menekan rejim Zionis Israel kerana mengabaikan hak rakyat Palestin di dalam semua forum antarabangsa termasuk dianjurkan oleh pelbagai pihak yang ada.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berperikemanusiaan, satu tindakan genoside yang dilakukan negara haram Israel ke atas rakyat Palestin, sekatan penuh yang melucutkan akses penduduk Rafah dan Palestin.

“Sesungguhnya termasuk sekatan bekalan makanan perubatan dan pendidikan adalah pelanggaran yang paling serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” ujar beliau semasa membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi tahun 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selain itu menurutnya yang juga Timbalan Presiden PAS, kerajaan digesa untuk mengisi kekosongan jawatan Pengerusi Suhakam yang sebelum ini dipengerusikan oleh Dato’ Dr. Rahmat Mohamad sehingga 31 Ogos 2023.

“Kita sedar bahawa setiap organisasi memerlukan nakhoda bagi menggerakkannya supaya ia lebih berkesan. Hal ini juga tidak kecuali bagi Suhakam yang masih lagi tiada nakhodanya selepas perletakan jawatan pengerusi Suhakam sebelum ini.

“Saya melihat sampai masanya pihak kerajaan untuk meneliti jawatan ini dan mengisi kekosongan yang ada supaya Suhakam dapat berfungsi dengan sebaik mungkin dan dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada Suhakam,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -