
KUALA LUMPUR: Pramugari beragama Islam di syarikat-syarikat penerbangan wajar diberi kebenaran untuk menutup aurat sebagai hak asasi manusia.
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, ia sepatutnya menjadi isu yang diberi perhatian oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
“Isu yang selalu kita bangkitkan berkenaan dengan pakaian pramugari dalam MAS, AirAsia dan dalam dalam beberapa (syarikat) penerbangan.
“Yang mana (kalau) ke Jeddah boleh pakai tudung, tak ke Jeddah tak boleh pakai tudung. Ini ‘double standard’. Ini hak asasi manusia kerana ramai antara mereka ini orang yang solat,” katanya semasa membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam 2021 dan Tahun 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau juga meminta agar isu itu dapat diselesaikan oleh Suhakam kerana apa yang berlaku pada masa ini menyusahkan pramugari yang ingin menutup aurat.
“Kasihan pada mereka yang terpaksa buka, tutup, pakai tudung. Benda ni sepatutnya dijaga oleh pihak Suhakam dan perkara ini amat mudah sebenarnya,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semua pihak diberi hak untuk membentuk jati diri berdasarkan sejarah mereka sendiri.
Sebagai contoh, katanya, orang-orang Melayu berhak untuk mengetahui sejarah dan melihat kembali pemeliharaan sejarah tamadun mereka kerana kesantunan Melayu hari ini merupakan bukti empirikal ketinggian budaya Melayu yang asal.
“Jadi kalau hari ini kita lihat bagaimana bahasa, pakaian, identiti budaya itu perlu di ditingkatkan kembali. Kalau perlu ditulis semula, ditulis semula,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024











