Keselamatan kanak-kanak semakin membimbangkan

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat satu mekanisma yang terbaik untuk digunapakai dalam menangkis isu yang berkait dengan keselamatan kanak-kanak termasuk kes Zayn Rayyan yang berlaku sebelum ini.

- Advertisement -

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, ini berikutan kebelakangan ini banyak kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak sama ada meragut nyawa ataupun tidak dan keselamatan mereka pula semakin terhakis dan membimbangkan.

“Dan bahkan banyak lagi kes yang melibatkan pengeksploitasian kanak-kanak berlaku dalam negara kita. Justeru apakah mekanisma terbaik yang digunapakai dalam menangkis isu yang berkait dengan keselamatan kanak-kanak ini.

“Adakah undang-undang sedia ada perlu dipinda agar kejadian-kejadian yang melibatkan keselamatan kanak-kanak dapat ditangani dengan sebaik mungkin?” soalnya semasa membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi tahun 2021 dan tahun 2022 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selain itu menurutnya, kerajaan digesa agar lebih tegas dalam usaha menyelesaikan konflik Israel Palestin serta ianya perlu dipandang serius dan kerajaan sewajarnya mengambil tindakan lebih agresif dalam membantu kanak-kanak di Palestin.

Katanya, pembunuhan kanak-kanak di Palestin amat menyedihkan di mana Rafah yang merupakan tempat perlindungan terakhir diserang tanpa belas kasihan walaupun hampir separuh daripada penduduk Rafah terdiri daripada kanak-kanak.

“Nasib kanak-kanak di Palestin sangat kritikal dengan bantuan makanan disekat ditambah pula dengan beberapa bulan yang lepas, UNICEF mengeluarkan amaran bahawa 600,000 kanak-kanak di Rafah berdepan malapetaka dan musibah.

“Dan semalam akhbar tempatan melaporkan bahawa kanak-kanak di Palestin mati akibat keracunan makanan kerana makanan di dalam tin yang telah bertarikh luput. Di manakah kita? Di mana kita Malaysia dalam membantu kanak-kanak ini,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -