Tingkatkan akses wanita bagi semua aspek

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan langkah konkrit untuk meningkatkan akses wanita kepada pendidikan, latihan kemahiran dan sokongan keusahawanan seperti yang digariskan oleh kementerian.

- Advertisement -

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, kerajaan Kelantan telah melancarkan dan melaksanakan Dasar Wanita Solehah Kelantan untuk mengiktiraf kedudukan dan martabat wanita dalam pembangunan masyarakat.

“Bagaimanakah kerajaan merancang untuk mengintegrasikan cadangan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ini ke dalam dasar-dasar sedia ada.

“Hal ini untuk memastikan setiap kanak-kanak di negara kita mendapat penjagaan yang berkualiti dan menyokong perkembangan mereka secara holistik, walaupun kos sara hidup terus meningkat dan drastik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kementeriannya sentiasa komited untuk meningkatkan akses kepada wanita dari segi sosial, pendidikan dan ekonomi.

“Perkara ini diterjemah melalui penggubalan dasar wanita yang kita sasarkan untuk melahirkan wanita berilmu, berwawasan, dan mempunyai daya kreativiti dan inovasi seperti yang kita hendakkan tidak kira sama ada di bandar atau luar bandar.

“Sebenarnya banyak usaha berterusan yang dilaksanakan oleh kementerian dengan pelbagai pihak sebab itu kita memerlukan bantuan, kerjasama, penglibatan dan komitmen daripada semua kementerian, agensi, negeri dan pihak swasta,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -