
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk tidak menyalahgunakan pasukan keselamatan seperti polis sehingga melampaui dan mengganggu hak asasi berpolitik dalam Perlembagaan negara.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, ini berikutan terdapat aduan penyalahgunaan anggota pasukan keselamatan dalam siri-siri kempen pilihan raya termasuk yang sedang berlaku di Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
“Ramai anggota polis diarahkan pergi ke tempat ceramah-ceramah merakam, kadang-kadang sampai 10 rakaman dibuat. Bahkan pemantauan sampai dibuat di bilik-bilik gerakan parti-parti pembangkang sekalipun.
“Dan saya fikir ini telah melampaui dan mengganggu hak asasi hak berpolitik yang dijamin dalam Perlembagaan. Saya akui bahawa perlu ada rakaman tapi takkan sampai 10 agensi beratus-ratus agensi dikawal seolahnya kawalan dibuat ataupun pemerhatian dibuat melebihi apa yang sepatutnya yang berlaku,” ujar beliau.
Tuan Ibrahim mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) bagi tahun 2021 dan tahun 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS mengakui bahawa pihak pasukan keselamatan ada hak untuk membuat rakaman, namun tidak perlulah sehingga sampai ke peringkat masuk ke bilik gerakan.
“Memantau semua sekali seolahnya kebebasan kita dalam konteks politik ini terganggu. Saya nak sebut saya pengalaman peribadi saya di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) saya Cheka. Setiap kali saya turun ada pihak polis mengiringi ambil gambar apa yang saya sumbang pada rakyat.
“Gambar beras pun diambil. Gambar sumbangan pun diambil. Siapa yang saya jumpa pun diambil. Seolahnya, pasukan keselamatan disalahgunakan kepada untuk mengawal keselamatan parti pemerintah bukan lagi kepada hak rakyat untuk berpolitik,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 27/6/2024











