Pemimpin Umno bertelagah isu MAHB-BlackRock

Annuar Musa
- Advertisement -

KOTA BHARU: Isu syarikat Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat pro-Israel, BlackRock berkaitan pemilikan saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), akhirnya memperlihatkan pertelagahan sesama pemimpin Umno.

Mantan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, percanggahan pandangan mengenai isu tersebut dalam kalangan menteri Umno tidak mampu disembunyikan lagi. 

- Advertisement -

“Alhamdulillah, ramai pemimpin Umno berkongsi pendapat yang sama bersama rakyat dan Perikatan Nasional.

“Malah, ADUN Umno dari Rembia,Muhamad Jailani Khamis turut hadir membantu calon PN, Abidin Ismail dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap,” katanya melalui catatan di Facebooknya, hari ini.

Kelmarin Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hassan dalam kenyataannya sebelum ini turut berharap Khazanah Holdings tidak menjual saham dalam MAHB kepada BlackRock. 

Sementara Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh juga secara jelas menentang isu tersebut.

Laporan media sebelum ini melaporkan BlackRock terbabit dalam penjuaanl senjata kepada Zionis Yahudi yang digunakan bagi membunuh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. 

Dalam pada itu, Annuar yang juga Presiden NGO, Muafakat Nasional (MN) berkata, malang sekali suara Umno dalam Kerajaan Madani langsung tidak dipedulikan.

“Lebih malang lagi Presiden Umno sendiri menyanggah kenyataan Mohamad dan Akmal.

“Suara rakyat di akar umbi jelas, walaupun kerajaan boleh melakukan apa saja, namun pengundi di Sungai Bakap tentunya akan memilih calon serasi dengan perjuangan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -