Pendapatan baharu: Terengganu jangka peroleh RM200 juta

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu atau New Income Terengganu (NIT) menerusi tujuh segmen dijangka memperolehi pendapatan hampir RM200 juta tahun ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, tujuh segmen yang dikemukan itu terhasil daripada Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS).

“Pertamanya kita mengkaji semula cukai-cukai lama yang dilihat tidak signifikan dengan sekarang ini. Ada cukai yang kali terakhir di kaji semula pada tahun 1987, cukai itu tidak dikaji semula dan kita tengok sekarang ini beberapa perkara perlu dikaji semula dengan keadaan semasa.

“Kedua kita melihat apabila GLC kita mula menunjukkan prestasi yang baik selepas direstructuring dan hasilnya GLC telah mendapat keuntungan dan kita minta GLC menyumbang balik kepada kerajaan dengan jumlah yang kita persetujui,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Parlimen 3.0 dengan tajuk Penjanaan Pendapatan Baharu: SG4 Berdaya Maju, menerusi siaran langsung di Facebook miliknya, semalam. Turut hadir dalam perbincangan itu ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid.

Kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Terengganu kaya dengan sumber galian dan mineral.

“Selain dari petroleum, kita ada silica rock, terbaru sumber mineral galian unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang ini dari segi kajian geologinya meletakkan Terengganu antara negeri yang terbanyak deposit dalam perut bumi.

“Jadi sumber galian ini kita akan fokuskan dan elignkan dengan gerak kerja yang lebih berdaya saing dan kita yakin juga akan menyumbang kepada pendapatan baharu Terengganu,” katanya.

Khuzaini berkata, segmen keempat untuk pendapatan baharu Terengganu melalui sumber batuan.

“Peralihan pasir, batu sekarang ini dilihat boleh dinaikkan dalam satu kadar yang baru,” katanya.

Khuzaini berkata, Terengganu juga mempunyai sumber air yang mana dikawal selia oleh agensi khusus iaitu Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT).

“LAUT berfungsi menjaga dan mengutip dari setiap penggunaan air dan badan air perlu dibayar cukai kepada kerajaan negeri,” katanya.

Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri turut memfokuskan sektor teknologi hijau sebagai sumber hasil pendapatan baharu.

“Teknologi hijau ini kalau sebelum ini kita sudah terkenal dengan adanya empangan hidroelektrik Kenyir tapi kita meneroka lebih lagi teknologi hijau yang sekarang ini tengah pesat mewujudkan ladang solar.

“Penambahan kita wujudkan solar park yang mempunyai dua hasil dalam satu. Selepas dari solar kita nak aktifkan mini-mini hidro, kita ada sungai-sungai yang signifikan yang boleh kita wujudkan mini hidro yang boleh menjana tenaga untuk kita aktifkan, sebelum ini tidak ada hanya bergantung harap kepada kenyir sahaja.

“Kita juga tengah eksplor solar park bukan sahaja diatas darat juga di dalam air kerana kita ada Tasik Kenyir luas yang sangat baik untuk kita berada di ranking top 10 dalam dunia,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu akan diselaraskan supaya menyumbang kepada pendapatan baharu negeri. – HARAKAHDAILY 23/6/2024

- Advertisement -