Macam ‘kerajaan’ bertanding PRK DUN Sungai Bakap

- Advertisement -

KOTA BHARU: Para pengundi di Sungai Bakap menyifatkan seolah-olah mereka berhadapan dengan ‘kerajaan’ yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu.

- Advertisement -

Ini susulan ramai menteri yang turun atas nama program anjuran kerajaan dan bukannya aktiviti parti atau calon PH.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof berkata, itu antara luahan pengundi kepadanya memandangkan banyak program yang dianjurkan di sana melibatkan menteri dan kerajaan.

Justeru itu, tambahnya pengundi khususnya penyokong PERIKATAN NASIONAL (PN) menyifatkan mereka bukan berdepan dengan calon PH sebaliknya menteri dan kerajaan Malaysia.

“Bagaimanapun kita bersyukur kerana sambutan rakyat sangat memberangsangkan pada calon kita dan kita cukup yakin, pengundi tidak akan beralih arah dari menyokong calon PN pada PRK Sungai Bakap,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan itu berkata, PN tidak mahu nasib rakyat di negara ini berterusan menderita selepas PRK Kuala Kubu Bharu apabila subsidi diesel ditarik balik.

Katanya, akibat tindakan itu, rakyat di negara ini menerima ‘bahana’ besar terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi di semua sudut setelah kenaikan harga diesel.

Zailah menambah kata, tidak mustahil kemenangan PH di Sungai Bakap, subsidi petrol pula akan ditarik balik di samping perkara lain yang akan diubah tanpa memikifkan masalah rakyat.

Menurutnya, isu kenaikan harga diesel antara topik hangat yang menjadi bualan dan kemarahan masyarakat DUN Sungai Bakap.

“Jangan biarkan mereka (kerajaan) buat sesuka hati, kerana itu kekalkan calon PN pada PRK Sungai Bakap nanti,” katanya.

Menyentuh tentang sokongan pengundi, Zailah memberitahu, kehadiran ribuan penyokong pada hari penamaan calon semalam menterjemahkan sokongan rakyat kepada calon PN.

PN meletakkan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56, sebagai calon pada PRK DUN Sungai Bakap.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya daripada PN, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 6 Julai sementara pengundian awal 2 Julai.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang diadakan Ogos tahun lepas, Nor Zamri menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK DUN Sungai Bakap yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis. – HARAKAHDAILY 23/6/2024

- Advertisement -