REE: SG4 kerjasama saling melengkapi

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pembentukan empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional yang dikenali sebagai State-Government 4 (SG4) merupakan kerjasama untuk saling melengkapi.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ia dapat dilihat melalui penghasilan Unsur Nadir Bumi (REE) yang dapat digemblengkan bersama di peringkat SG4.

“SG4 ini khususnya dalam REE Terengganu disebut mempunyai deposit 40 peratus lebih, Kelantan 20 hampir peratus dan juga Kedah juga hampir 20 peratus, kalau dicampur tiga negeri ini sahaja sudah melebihi separuh hasil REE itu dapat kita gemblengkan di peringkat SG4.

“Kita tidak sebut Perlis kerana Perlis tidak ada sumber REE tetapi jangan kita lupa Perlis kaya dengan dolomite. Dolomite ini adalah pencetus untuk proses mengeluarkan REE daripada perut bumi.

“Jadi dengan kita gabungkan tiga dan satu ini, kita boleh berjalan bersendirian, itu kekuatan dan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Parlimen 3.0 dengan tajuk Penjanaan Pendapatan Baharu: SG4 Berdaya Maju, menerusi siaran langsung di Facebook miliknya, semalam. Turut hadir dalam perbincangan, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid.

Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu mempunyai simpanan REE terbesar bernilai kira-kira RM250 bilion melibatkan lima daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Katanya, anggaran keluasan kawasan yang berpotensi seluas 581,735 hektar (1,437,500 ekar) mampu mengeluarkan sebanyak 7,187,500 tan bahan mentah. – HARAKAHDAILY 23/6/2024

- Advertisement -