
TAWAU: Ibu bapa perlu lebih prihatin dan cakna dengan segala aktiviti anak-anak, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah.
Menurutnya, ibu bapa perlu memberikan pengawasan yang terbaik kepada anak-anak bagi mengelak mereka menjadi mangsa jenayah.
“Hari ini saya bertugas sebagai Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak dan mendengar kes yang melibatkan remaja.
“Saya berharap semoga semua pesalah diberikan hidayah oleh Allah dan menjadi warganegara yang baik,” ujarnya kepada Harakahdaily di sini, hari ini.
Beliau berpesan, ibu bapa perlu menerapkan didikan agama dalam diri anak-anak supaya mereka dapat membesar dalam keadaan baik.
“Kita memerlukan kualiti anak muda yang mampu mencorak masa depan negara yang lebih baik.
“Kita juga mengharapkan mereka mampu memberi manfaat kepada orang sekeliling serta menjadi anak yang soleh, yang menjaga solat sekali gus dijauhi segala kemungkaran dan kejahatan,” katanya.
Sebagai seorang bapa, Ahmad menyatakan kebimbangan melihat masalah sosial yang berlaku sepanjang hampir enam tahun beliau menjadi Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak.
“Bayangkan umur remaja belasan tahun sudah terjerumus dalam kes jenayah seperti syabu, gangguan seksual, pecah rumah, pergaduhan, judi dan sebagainya,” ujarnya. – HARAKAHDAILUY 20/6/2024











