
SETIU: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof meraikan 55 pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka.
Beliau berkata, sebanyak RM200 diberikan kepada setiap pelajar yang telah memperolehi keputusan 6A dan ke atas.
“Sumbangan ini mungkin tidak besar tapi ini adalah sebagai tanda ingatan atas usaha mereka dalam meraih kejayaan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2023 di Dewan Komuniti Sejahtera di sini, hari ini.
Tahun ini, seramai 18 orang berjaya memperolehi 6A, 10 (7A), 17 (8A), lapan (9A) dan dua orang meraih 10A.
Untuk rekod, pelajar yang memperolehi 10A adalah Ahmad Faiz Alias, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah berasal dari Kampung Rahmat manakala seorang lagi ialah Siti Nazifah Mohd Azmi, pelajar SMK Melor berasal dari Sungai Tong.
Azmi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada anak-anak DUN Langkap yang telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam SPM 2023.
“Kejayaan anda pada hari ini adalah hasil usaha gigih, dedikasi, dan kesungguhan anda selama ini. Anda telah membuktikan bahawa dengan tekad yang kuat, tiada yang mustahil untuk dicapai.
“Tidak lupa juga, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru dan ibu bapa yang tidak ternilai harganya.
“Ingatlah, kejayaan yang sebenar bukan hanya diukur dengan pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga dengan keupayaan kita untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. Insya-Allah, semoga anda terus berjaya dan menjadi contoh teladan kepada generasi akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2024











