
KOTA BHARU: Langkah Speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kosong selepas didapati berlaku perlanggaran Akta Anti Lompat Parti dianggap sebagai langkah tepat.
Malah orang ramai yang ditemui turut mendesak supaya Speaker Dewan Rakyat dan Speaker DUN Selangor mengikut jejak langkah tersebut.
Seorang penduduk Kamaruddin Daud berkata, Kelantan merupakan negeri pertama mengumumkan keputusan itu selepas ADUN Nenggiri menyokong kerajaan Madani.

Katanya, pengumuman dibuat Speaker DUN Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah perlu dicontohi semua pihak.
Beliau berkata, rakyat perlu diberi mandat bagi memilih wakil rakyat yang baharu selepas wakil rakyat didapati melanggar Akta Anti Lompat Parti.
“Ia merupakan satu langkah yang bijak. Saya setuju sangat. Saya minta Speaker Dewan Rakyat dan DUN Selangor supaya mengikut jejak langkah Kelantan.
“Ini kerana lima lagi Ahli Parlimen Bersatu dan seorang ADUN di Selangor turut menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui di sini.
Semalam, Speaker DUN Kelantan mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan Bersatu (12 Jun) lalu.
Notis tersebut memaklumkan ADUN terbabit hilang keahlian Bersatu.
Seorang anak muda Mohd Nazrul Zakaria berkata, Dewan Rakyat dan DUN Selangor perlu segera membuat pengumuman kerusi wakil rakyat Bersatu yang menyokong kerajaan Madani kosong.
“Isu tersebut berkait dengan undang-undang. Jadi kalau sudah termaktub dalam peraturan Akta Anti Lompat Parti sangat baik kalau ia dapat dilaksanakan segera,” katanya.

Ketua Pemuda PAS Pengkalan Chepa, Mohd Afif Rabbani Abdullah pula berkata, sekiranya keahlian parti wakil rakyat sudah digugurkan maka dengan sendirinya statusnya tergugur selaras Akta Anti Lompat Parti. – HARAKAHDAILY 20/6/2024











