Bekas ADUN Nenggiri tidak dihalang bawa kes ke mahkamah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim tidak pernah dihalang untuk membawa kesnya ke mahkamah kerana ia menjadi hak peribadi pemimpin terbabit.

- Advertisement -

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, beliau difahamkan Mohd Azizi akan membawa kesnya ke mahkamah selepas digugurkan sebagai ADUN.

“Sebagai Speaker DUN saya tidak ada hak untuk menghalang perkara berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program ibadat korban DUN Panchor di Kompleks Tarbiah Panchor, hari ini. (Foto atas)

Semalam, Mohd Amar mengumumkan pengosongan kerusi DUN Nenggiri selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Mohd Azizi pada 13 Jun dan Bersatu (12 Jun) lalu.

Notis tersebut memaklumkan bekas Adun terbabit hilang keahlian Bersatu.

Portal berita semalam melaporkan Mohd Azizi akan membawa kes pengosongan kerusi DUN Nenggiri ke mahkamah selepas berbincang dengan peguam.

Amar yang juga ADUN Panchor berkata, terpulang kepada mahkamah untuk membuat sebarang keputusan.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada kenyataan semalam akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada 28 Jun ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan berhubung kekosongan luar jangka kerusi N43 Nenggiri. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -