
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata Israel telah mencadangkan gencatan senjata baharu di Semenanjung Gaza sebagai pertukaran untuk pembebasan tawanan, dan menggesa Hamas untuk bersetuju dengan tawaran baharu itu, sebagai cara terbaik untuk menamatkan konflik perang Hamas-Israel.
“Sudah tiba masanya untuk perang ini ditamatkan dan untuk hari-hari seterusnya selepas penamatan perang ini bermula,” kata Biden, yang berada di bawah tekanan untuk menghentikan genosid Israel di Gaza yang memasuki bulan kelapan, susulan pilihan raya di AS yang bakal diadakan pada tahun ini, lapor Reuters.
Rundingan yang ditengahkan oleh Mesir, Qatar dan lain-lain untuk mengatur gencatan senjata antara Israel dan pejuang Islam Palestin, Hamas dalam perang Israel-Hamas itu telah berulang kali terhenti, dengan kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain.
Cadangan terbaharu Biden pada Jumaat, waktu tempatan, itu dibuat selepas beberapa minggu pencerobohan Israel ke Rafah, dan tekanan baharu terhadap kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu di dalam dan luar negara berhubung kematian orang awam di Gaza.
Pejabat Netanyahu berkata pada Jumaat berkata bahawa Israel telah memberi kuasa kepada perunding untuk membentangkan perjanjian gencatan senjata Gaza selepas Biden mendedahkan rancangan gencatan senjata itu.
Ia juga berlaku sehari selepas saingan presiden Parti Demokrat dari Republikan untuk presiden, Donald Trump, disabitkan dengan 34 pertuduhan jenayah, menonjolkan perbezaan yang ketara antara kedua-dua calon.
Tiga fasa gencatan senjata
Cadangan baharu yang dibentangkan Biden terdiri daripada tiga fasa, dan terputus daripada cadangan sebelumnya kerana gencatan senjata akan diteruskan apabila pihak-pihak bergerak melalui ketiga-tiganya.
Pada fasa pertama, gencatan senjata yang berlangsung selama enam minggu, tentera Israel akan berundur dari pusat penempatan penduduk Gaza, dan tawanan, termasuk warga emas dan wanita, akan ditukar dengan ratusan tahanan Palestin di Israel.
“Orang awam Palestin akan kembali ke Gaza, termasuk Gaza utara, dan 600 trak akan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza setiap hari,” kata Biden.
Dalam fasa kedua, Hamas dan Israel akan merundingkan syarat untuk menamatkan permusuhan secara kekal.
“Gencatan senjata masih akan diteruskan selagi rundingan diteruskan,” tambahnya.
Sementara, fasa ketiga akan merangkumi rancangan pembinaan semula utama untuk Semenanjung Gaza yang kebanyakannya sudah dimusnahkan oleh pengeboman tentera udara Zionis.
Cadangan telah disampaikan kepada Hamas
“Cadangan itu telah disampaikan kepada Hamas oleh Qatar,” kata Biden yang menyeru pihak di Israel yang mendesak untuk meneruskan serangan terhadap Gaza agar mengubah fikiran mereka.
“Saya tahu ada pihak di Israel yang tidak akan bersetuju dengan rancangan ini dan akan menyeru agar peperangan diteruskan selama-lamanya.
“Malah ada kalangan mereka yang berada dalam gabungan kerajaan. Mereka telah menjelaskannya dengan jelas. Mereka mahu menduduki Gaza. Mereka mahu terus berjuang selama bertahun-tahun dan tebusan bukanlah keutamaan bagi mereka, tetap saya telah menggesa kepimpinan di Israel untuk berdiri di belakang perjanjian ini, walau apa pun tekanan yang datang,” tegas Biden.
“Sebagai seseorang yang mempunyai komitmen sepanjang hayat kepada Israel, sebagai satu-satunya presiden Amerika yang pernah pergi ke Israel pada ketika perang, sebagai seseorang yang baru sahaja menghantar tentera AS untuk terus mempertahankan Israel apabila ia diserang oleh Iran, saya meminta anda untuk mengambil langkah ke belakang, fikirkan apa yang akan berlaku jika detik ini hilang.
“Kita tidak boleh kehilangan detik ini,” katanya.
Laporan media Israel
Sementara itu, beberapa media Israel menyifatkan ucapan Biden pada Jumaat sebagai dramatik, dan menafsirkannya sebagai ia sebagai percubaan untuk merayu terus kepada orang awam Israel.
Stesen penyiaran Channel 12 dalam program berita malamnya telah menyiarkan ucapan Biden itu secara langsung.
“Penapis siaran TV Israel sebelum ini telah melarang penerbitan butiran tawaran itu”, kata pengarang Channel 12, Danny Kushmaro kepada Reuters.
Sementara, profesor sejarah dan hal ehwal awam di Universiti Texas di Austin, Jeremy Suri berkata, cadangan dan tawaran gencatan senjata terbaharu di Gaza itu mempunyai kemungkinan kejayaan yang lebih tinggi daripada yang sebelumnya.
“Persepsi awam global ‘berpaling terhadap’ Israel,” kata Suri, yang menurutnya boleh menggalakkan rakyat Israel mahu menghentikan konflik itu, bersama-sama dengan pengaruh Biden.
“Apabila presiden Amerika Syarikat benar-benar berada di belakang sesuatu, dia boleh mencipta banyak insentif,” kata Suri.
Cadangan gencatan senjata awal yang dikemukakan pada tahun ini menggesa pembebasan tawana yang sakit, warga emas dan cedera di Gaza sebagai pertukaran untuk gencatan senjata selama enam minggu yang boleh dilanjutkan untuk membolehkan lebih banyak bantuan dihantar ke kawasan itu.
Perjanjian yang dicadangkan itu bagaimanapun gagal dicapai pada awal bulan ini selepas Israel enggan bersetuju dengan tuntutan Hamas untuk menamatkan perang secara kekal sebagai sebahagian daripada rundingan dan meningkatkan serangan ke atas bandar Rafah di selatan Gaza.
Hamas berkata pada Khamis ia telah memberitahu pengantara bahawa ia tidak akan mengambil bahagian dalam lebih banyak rundingan semasa pencerobohan berterusan tetapi bersedia untuk ‘perjanjian lengkap’, termasuk pertukaran tebusan dan tawanan, jika Israel menghentikan perang itu.
Rundingan dengan diplomat 17 negara
Seorang pegawai AS, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata penasihat keselamatan negara Rumah Putih Jake Sullivan akan bertemu pada hari ini, dengan diplomat dari 17 negara yang mempunyai rakyat yang dijadikan tawanan di Gaza oleh Hamas.
Serangan udara Israel di Rafah pada Ahad lalu mengorbankan 45 rakyat Palestin mencetuskan kemarahan antarabangsa, tetapi Biden mengatakan ia tidak melepasi garis merah AS untuk memutuskan bantuan ketenteraan kepada Israel.
“Rakyat Palestin telah mengalami neraka dalam perang ini,” kata Biden pada Jumaat.
“Kami semua melihat imej mengerikan dari kebakaran maut di Rafah awal minggu ini, berikutan serangan Israel … menyasarkan Hamas,” tambahnya.
Pihak berkuasa kesihatan Palestin menganggarkan lebih 36,280 orang awam telah terkoran di Gaza sejak Israel menyerang kawasan itu sebagai tindak balas kepada serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 di selatan Israel; sementara menurut pengiraan Isreal, serangan Hamas itu telah membunuh kira-kira 1,200 rakyatnya. – Agensi- HARAKAHDAILY1/7/2024
.




















