
KUALA LUMPUR: Beberapa artis Malaysia, terutama yang tersenarai dalam senarai diboikot kempen Blockout 2024 yang bermula rancak di media sosial pada ketika ini, dilihat agak terkesan.
Tindakan warganet atau netizen dalam kempen memboikot artis Malaysia yang terbabit mempromosikan jenama dan barangan dari negara Israel kini mendapat respons yang positif daripada orang ramai.
Kempen Blockout 2024 bermula selepas petisyen digital pro-Palestin itu tercetus sejak Met Gala, yang merupakan sebuah festival atau majlis gala pengumpulan dana tahunan diadakan untuk manfaat Muzium Seni Metropolitan di New York City, Amerika Syarikat, pada tahun ini berlangsung tanggal 6 Mei 2024.
Kempen berkenaan lantang mengecam selebriti tersohor Hollywood yang menyertai majlis mewah tersebut termasuk Zendaya, Kim Kardashian, Jennifer Lopez dan ramai lagi kerana sanggup terbabit dengan acara yang disamakan seperti plot filem Hunger Games (yang memaparkan penindasan rakyat golongan marhaen oleh masyarakat bertaraf tinggi), selain mengambil sikap tidak peduli terhadap nasib penduduk Palestin angkara genosid tentera Zionis Israel sejak 7 Oktober 2023.
Usaha melancarkan hashtag #Blockout2024 itu bertujuan untuk menghentikan sokongan terhadap ratusan artis yang membisu dan tergamak menjadi duta produk Israel yang dimulai dengan Hollywood, namun kini merebak pula ke Malaysia.
Menerusi akaun TikTok milik @anakandajay yang berkongsikan 30 senarai artis Malaysia menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan artis dan netizen Malaysia.
Ada yang menyokong dan ada juga yang ‘Makiout’ (kata-kata makian) bak kata salah seorang artis yang turut di senarai hitamkan.
Ramai dalam kalangan netizen telahpun menyahut cabaran ini dan ada antara artis tempatan yang disenarai hitam itu telahpun kehilangan beratus ribu pengikut di akaun media sosial masing-masing.
Ini menunjukkan reaksi daripada kempen ini cukup positif bagi menyekat pengaruh artis yang tiada empati terhadap nasib rakyat Palestin.
Dalam pada itu, pelakon Ramona Zamzam, 33, mengkritik tindakan individu-individu terkenal yang ketika ini memuat naik hantaran berkaitan konflik di Palestin hanya selepas nama mereka disenaraikan dalam gerakan boikot tersebut.
Ramona mendirikan rumah tangga dengan pemuda Palestin, Rami Alashkar pada 1 Mei 2015 telah memuat naik komentar dalam Instagram miliknya menegur sikap artis tempatan yang hanya memikirkan ‘periuk nasi’ (pendapatan) sendiri.
“Kamu tidak ikhlas kerana kamu tidak prihatin. Bukan kamu yang dibunuh dan dibom. Apa yang kamu fikirkan adalah duit dan populariti.”
“Kalau anda betul ikhlas untuk sekat mereka, lakukan dengan profesional. Jadilah manusia bertamadun,” ulas pelakon tersebut di akaun Instagramnya setelah nama artis yang disenarai hitam tersebar,” luahnya.
Dia juga dilaporkan telah meluahkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir artis dan pempengaruh yang secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan tentang nasib rakyat Palestin selepas berdepan dengan ancaman kempen Blackout 2024.
“Sebelum ini terdapat beberapa artis yang tidak pernah mengeluarkan kenyataan tentang nasib rakyat Palestin sehinggalah nama mereka berada dalam ‘senarai hitam’ berkenaan,” katanya.
Namun, dia juga menasihatkan netizen agar tindakan memboikot artis yang tidak prihatin terhadap rakyat Palestin dilakukan dngan profesional, bukan dengan kata makian (dan cacian) di akaun media sosial artis terbabit. – HARAKAHDAILY 15/5/2024




















