Persiapan hari pengundian PRK KKB berjalan lancar

Petugas SPR sedang membuat persiapan di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi PRK DUN KKB di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Selangor pada hari ini, Jumaat 10 Mei 2024. (FOTO: Facebook/Tangkap layar video SPR)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menjalankan proses semakan peralatan mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) bagi memastikan kesemua kelengkapan mengundi mencukupi dan dalam keadaan baik.

Setiausaha SPR, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak berkata, kesemua peralatan seperti peti undi, kertas undi, petak undi, dakwat pilihan raya dan sebagainya diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap Tempat Mengundi (Saluran).

- Advertisement -

“Seramai 760 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian ini kelak. 

“Sebanyak lapan belas 18 Pusat Mengundi dan 74 Saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian di mana seramai 39,269 orang bakal mengundi di PRK ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 malam ini.

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, X (Twitter), Instagram, TikTok dan lain-lain.

“Semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada Hari Mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Sementara itu, Ikmalrudin turut menasihati pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan dan cadangan masa mengundi boleh disemak di laman web mySPRsemak.

Justeru, SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. 

“Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

PRK KKB 2024 menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan  Khairul Azhari Saut (PERIKATAN NASIONAL), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya,  Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

- Advertisement -