PH jangan biadab, henti mainkan isu 3R

Nurul Syazwani Noh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) disarankan agar jangan bersifat biadab dan berhenti mainkan isu 3R dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Ketua Penerangan Srikandi BERSATU, Nurul Syazwani Noh berkata, semua pihak sedia maklum bahawa dalam berkempen untuk calon masing-masing dalam PRK Kuala Kubu Bharu ini, beberapa adab dan peraturan perlu dipatuhi.

- Advertisement -

“Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan bersuara namun ianya bukan mutlak kerana terdapat adab dan peraturan yang perlu dipatuhi demi mengekalkan keharmonian dalam negara lebih-lebih lagi isu 3R (kaum, raja, agama),” katanya.

Menurut beliau, dalam keghairahan berkempen, Jentera PH telah memperalatkan isu tersebut semasa berkempen yang mana mereka telah menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai pelekat dan poster kempen PRK Kuala Kubu Bharu.

Tambah beliau, tindakan tersebut adalah melanggar Seksyen 4 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang mana beliau percaya siasatan telah dijalankan oleh pihak polis.

“Berkempen biarlah secara sihat dan mematuhi undang-undang, jangan cuba memesong pemikiran pengundi dengan menggunapakai gambar YDPA, seolah-olah YDPA memberi sokongan kepada Pakatan Harapan,” tegasnya.

Beliau menyatakan, Sayap Srikandi BERSATU Malaysia mengecam keras taktik politik kotor yang dimainkan oleh PH dan berharap supaya Pakatan Harapan tidak lagi memainkan isu sensitif  yang menyentuh 3R.

“Ini kerana dengan memainkan isu tersebut boleh mewujudkan keadaan tidak harmoni dan ketidaktenteraman dalam masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -