‘Umno pimpinan Zahid kini melukut di tepi PH, DAP’

Isham Jalil
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan salah seorang ahli Majlis Tertinggi Umno yang mendakwa kononnya ramai ahli Umno yang dipecat mahu kembali dan mencari jalan untuk diterima semula ke dalam parti itu  adalah tidak benar, malah sebaliknya yang dan berlaku.

Mantan ahli Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil berkata, ramai akar umbi Umno tidak menyokong parti itu yang dipimpin Presidennya, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk bersama DAP walaupun masih berdaftar sebagai ahli, malahan tidak mengundi PH atau BN dalam pilihan raya, apatah lagi yang telah dipecat untuk menyokongnya.

- Advertisement -

Menurut beliau, jika diadakan tinjauan atau ‘pemutihan’ keahlian dalam Umno sekarang ini, besar kebarangkalian jumlah ahli Umno yang masih aktif atau menyokong Umno adalah jauh lebih rendah daripada jumlah tiga juta yang selalu digembar-gemburkan selama ini; dan hanya mungkin tinggal 20 peratus atau kurang daripada suku jumlah tersebut. 

“Sebab itu sebelum ini saya minta Presiden Umno Zahid Hamidi agar buat referendum untuk mengetahui tahap sokongan sebenar, tetapi beliau takut dan tidak mahu, sebab saya pasti Zahid tahu hakikat sebenar, namun tidak mahu menerima kenyataan.

“Sebab itu kita lihat dalam pilihan raya seperti pilihan raya enam negeri dan pilihan raya-pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini sokongan orang-orang Melayu kepada PH atau BN adalah rendah termasuk di PRK Kuala Kubu Baharu baru-baru ini.

“Pengundi-pengundi Melayu sama ada tidak keluar mengundi atau telah mengundi parti lain iaitu PAS atau Bersatu,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Tambah Isham, ada penganalisa PH mendakwa sokongan Melayu kepada PH atau BN kononnya telah meningkat kepada 30 hingga 40 peratus.

“Dakwaan itu  tidak benar dan tidak logik… kerana jika ia benar, maka PN tidak mungkin akan dapat lebih 10,000 undi di PRK KKB. 

“PH atau BN kata mereka menang di enam daripada  lapan PDM (Pusat Daerah Mengundi) majoriti Melayu, namun ia besar kemungkinan disebabkan oleh orang-orang Melayu (terutama pengundi Umno) telah protes dan tidak keluar mengundi di situ.

“Sementara masyarakat  bukan Melayu telah keluar dan undi PH di PDM-PDM tersebut, bukannya sebab orang-orang Melayu di sana telah sokong PH seperti yang digembar-gemburkan,” jelas Isham.

Beliau yakin bahawa Umno-DAP mengetahui fakta-fakta ini dan  kedua-dua parti itu mengetahui bahawa  jika keadaan tersebut berterusan mereka akan kalah teruk di banyak kerusi dalam pilihan raya-pilihan raya yang akan datang. 

Beliau menyatakan, Umno-DAP telah kehilangan sokongan akar umbi mereka sendiri dan sedang risau, justeru untuk menghentikan keadaan ini, mereka perlu menarik balik akar-akar umbi yang telah lari dan pemimpin-pemimpin yang mereka pecat dahulu kembali kepada Umno. 

Oleh yang demikian jelas Isham lagi, hakikatnya adalah bukannya akar umbi yang telah menjauhkan diri dan pemimpin-pemimpin yang dipecat ini yang mahu kembali kepada Umno-DAP, tetapi sebaliknya mereka yang terdesak mahu akar umbi dan pemimpin-pemimpin ini kembali supaya mereka dapat menarik sokongan orang-orang Melayu.

“Saya tidak akan masuk parti yang sudah lari dari perjuangan asalnya. Parti yang dipimpin Zahid Hamidi hari ini bukanlah Umno yang asal yang ditubuhkan berdasarkan semangat perjuangan pada tahun 1946 dahulu.

“Tetapi ia adalah parti yang berasaskan semangat Zahid untuk membawa Umno bersama PH dan DAP. Parti Umno di bawah Zahid hari ini hanya tinggal pada nama sahaja. 

“Semangat asalnya telah hilang dan telah berubah menjadi semangat Umno DAP. Parti yang suatu masa dulu gah, hari ini telah jadi melukut di tepi PH dan DAP,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau sendiri bertegas untuk tidak akan kembali atau masuk parti Umno dipimpin Zahid  dan ramai orang Melayu pun tidak menyokong parti ini.

“Ramai dari mereka kata jika datuk nenek moyang mereka yang berpuluh tahun dahulu telah berjuang dalam Umno boleh bangkit dari kubur dan lihat apa yang telah berlaku kepada Umno hari ini, tentunya mereka akan marah atau sedih.

“Saya lihat selagi Umno dibawa Zahid bersama-sama DAP, saya tidak rasa ramai akar umbi dan pemimpin-pemimpin yang telah dipecat akan kembali kepada parti ini. 

“Untuk Umno kembali mendapat sokongan orang-orang Melayu, Umno perlu kembali ke landasan dan perjuangan asal,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2024

- Advertisement -