
KUALA LUMPUR: Dato’ Rasol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mencadangkan pihak kerajaan agar menaikkan harga subsidi minyak daripada RM2.50 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram.
Menurutnya, dengan kenaikan harga subsidi itu juga diharapkan dapat menyelesaikan banyak perkara termasuk menangani minyak yang telah digunakan dari dijual dengan harga lebih tinggi.
“Dengan peningkatan harga itu dapat mengelakkan dari beberapa perkara berlaku. Malah dengan kenaikan harga itu juga ia membolehkan orang ramai mampu membeli dengan kadar separuh lebih murah dari harga minyak biasa tanpa subsidi, kerana harga tidak bersubsidi ialah RM6.90.
“Diharapkan juga dengan peningkatan itu ia akan memberi ruang yang sempit kepada penyeludup minyak terutama ke negara sempadan kerana mereka boleh dapatkan di sini dengan harga RM2.50 sekilogram dan mereka bawa ke negara sempadan dengan menjual harga yang lebih tinggi iaitu RM4.50 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2023) 2024 Peringkat Jawatankuasa, di Dewan Rakyat, Parlimen di sini, hari ini.
Justeru dengan kenaikan kadar harga subsidi sebanyak RM3.50 itu berkemungkinan juga dapat mengurangkan sindiket ke atas barangan tersebut, sekali gus mengurangkan beban yang ditanggung kerajaan.
Sementara itu, beliau turut menyifatkan subsidi gandum yang akan berakhir tidak lama lagi merupakan satu beban akan ditanggung dan akan dihadapi oleh rakyat.
“Dalam keadaan kita dah jatuh, barang semakin naik dan susah untuk dapat ditambah harga makin meningkat.
“Masyarakat akan terus menanggung beban dari bahana yang berlaku termasuk masalah makanan yang telah berlaku dan ini akan bertimpa-timpa menimpa rakyat yang semakin hari semakin susah.
“Sudah jatuh ditimpa tangga, ‘terpetat’ (terkena) taik ayam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024




















