Isu beras kurang: Perlu tindakan ‘luar biasa’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan beras putih tempatan yang sedang dihadapi oleh negara sekarang memerlukan tindakan luar biasa daripada kerajaan.

Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkata, ini kerana situasi sedang berlaku sekarang bukanlah sesuatu yang biasa berlaku.

- Advertisement -

Kerana kata beliau, segala langkah yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan sekarang dilihat sebagai langkah-langkah biasa.

“Sekarang ini Speaker, kita menghadapi keadaan luar biasa. Beras putih tempatan sehingga hari ini tidak ada lagi. Beras putih tempatan masih sukar untuk didapati di pasaran.

“Persoalan saya ialah apakah langkah-langkah luar biasa untuk memastikan kekurangan bekalan beras putih ini tidak berlaku?” katanya di Dewan Rakyat pada sesi Soal Jawab Menteri hari ini.

Beliau menyatakan perkara ini sewaktu mengajukan soalan tambahan kepada soalan asal Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) kepada Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan.

Isnaraissah dalam soalannya meminta Menteri tersebut menyatakan langkah-langkah segera dan jangka panjang bagi meminimumkan kesan musim panas dan kering terhadap aktiviti tanaman padi khususnya di Sabah.

Kata Rosol lagi, situasi yang sedang berlaku sekarang adalah situasi luar biasa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.

“Apakah langkah-langkah luar biasa, kerana orang bijak pandai mengatakan bahawa kerja biasa, hasilnya biasa. Kita kena kerja luar biasa untuk hasil yang luar biasa,” soalnya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam jawapannya berkata, keluaran beras putih tempatan hanyalah 62 peratus daripada keseluruhan bekalan beras di Malaysia.

Tambahnya, setelah ditolak daripada keperluan kontrak kerajaan seperti balai polis, sekolah asrama dan sebagainya, menjadikan baki di pasaran lebih kurang 50 peratus untuk diedarkan.

“Kemudian India pula kita tahu mengurangkan eksport beras mereka. Jadi dia jadi sedikit masalah buat sementara kita kena susun semula. Penyusunan hal beras dan padi ini bermula pada tahun 1980 dahulu lahirnya Bernas dan sebagainya.

“Tahun ini kita akan buat penyusunan baru. Sekarang kita sedang membuat libat urus dengan semua pihak, penanam padi, pengilang, pengedar, peruncit supaya bila kita umumkan nanti semua pihak terlibat berpuas hati. Ini susunan jangka panjang,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kementeriannya juga sedang mengusahakan pembukaan ladang-ladang padi baharu di Sarawak, di Sabah, Johor, Perak dan Pahang.

Kata beliau lagi, kementerianya juga sedang mengadakan libat urus sekarang secara intensif dengan para petani, persatuan peladang untuk mendengar pandangan mereka.

“Semuanya itu kita akan umumkan dalam masa terdekat, dua tiga hari ini, satu skim baru. Tetapi jangka panjangnya itu lebih kepada penstrukturan semula hal beras dan padi negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -