
MASJID TANAH: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, bantuan kepada penduduk diteruskan walaupun tanpa peruntukan daripada kerajaan Madani.
Bagaimanapun, menurutnya situasi agak perit apabila kerajaan Madani menyekat peruntukan kepada Ahli Parlimen daripada pembangkang.
“Memang betul, memang agak perit juga untuk setahun lebih ini. Tetapi alhamdulillah kita survive juga.
“Kita berjaya kerana rezeki yang Allah berikan, dorongkan orang yang baik-baik untuk membantu Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah, alhamdulillah ada saja rezeki,” ujarnya pada Majlis Sumbangan Kasih Ramadan di sini, semalam.
Seramai 45 orang penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan telah menerima sumbangan wang tunai dan barangan dapur dalam tiga majlis di tiga lokasi melibatkan DUN Tanjung Bidara, Kuala Linggi dan Ayer Limau.
Dalam program yang berlangsung di lokasi pertama di PASTI Ar-Rahman, seramai 15 orang golongan kurang berkemampuan dari DUN Tanjung Bidara telah menerima bantuan tersebut.
Turut berucap ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya-3 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman.
Mas Ermieyati menambah, sehingga ke hari ini semua Ahli Parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan.
“Walaupun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berjanji dalam manifesto pilihan rayanya, janji macam-macam, katanya akan membantu kalau dia jadi Perdana Menteri nak membantu pembangkang.
“Tetapi akhirnya sampai hari ni tidak adapun dan inilah realiti yang kita hadapi. Bukan itu saja. Kalau tuan-tuan tengok apa yang diucapkan sebelum dia jadi Perdana Menteri banyak janji-janji. Jadi apa yang dia cakap tu akhirnya tidak ditunaikan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/3/2024











