Waspada fenomena El Nino elak terkena strok haba

Rohani Ibrahim menziarahi Datin Siti Fatimah Iskandar di sebuah hospital swasta.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada ketika negara dilanda fenomena El Nino bagi mengelak terkena strok haba sepanjang menjalani ibadat puasa.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim, berkata selain meminum air putih yang banyak khususnya ketika bersahur, dinasihatkan juga mengambil buah kurma sama ada ketika berbuka puasa atau bersahur.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu melakukan program ziarah semalam termasuk menziarahi isteri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Mat Nor, iaitu Datin Siti Fatimah Iskandar.

Program kebajikan kerajaan negeri itu diadakan untuk menziarahi masyarakat yang ditimpa musibah seperti sakit kronik, masalah kemiskinan, insiden tragis atau pernah tular di media sosial.

Rohani berkata, negara kini berada pada tahap panas yang melampau khususnya di bahagian utara seperti Perak, Perlis dan Kedah sehingga mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius.

“Kerana itu, dinasihatkan supaya meminum air putih yang banyak, tidak boleh minum ikut kadar yang kita suka sahaja. Minum air yang secukupnya agar dapat mengimbangi badan kita untuk tempoh sehari,” katanya lagi.

Tambahnya, keadaan panas yang melampau menyebabkan strok haba mudah berlaku.

ADUN Tanjong Mas itu juga menasihatkan masyarakat di Kelantan supaya mengambil pemakanan yang boleh membantu tenaga serta cuaca yang panas seperti kurma, makanan yang berkhasiat selain air putih.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya orang ramai sentiasa mengikuti maklumat yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“MetMalaysia yang sentiasa memberi pesanan pada kita tentang kepanasan yang berlaku di satu-satu tempat,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan keluarga.

Menurutnya, ketika cuaca panas menyebabkan kebakaran mudah berlaku. – HARAKAHDAILY 17/3/2024

- Advertisement -