
MASJID TANAH: PERIKATAN NASIONAL (PN) melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah tetap memberi khidmat kepada penduduk walaupun tidak memiliki mana-mana kerusi DUN dalam kawasan Parlimen ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, turut bersyukur kerana usaha untuk mengganggu kerusi Parlimen Masjid Tanah telah melalui proses akhir.
“Walaupun kita tidak ada ADUN, tetapi kita tetap beri khidmat. Walaupun kita diganggu gugat. Sebelum ini kerusi Parlimen kita dipetisyen dan dibawa ke mahkamah.
“Namun kita bersyukur kerana telah melalui proses akhir dan mereka tidak boleh lagi mengganggu kerusi kita ini,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah.
Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan aluan dalam Program Sumbangan Kasih Ramadan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin kepada penduduk dalam DUN Ayer Limau di Lubok China, di sini, semalam.
Seramai 45 orang penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan telah menerima sumbangan wang tunai dan barangan dapur dalam tiga majlis di tiga lokasi melibatkan DUN Tanjung Bidara, Kuala Linggi dan Ayer Limau.
Tambah Ustaz Imran lagi, walaupun Ahli Parlimen pembangkang tidak menerima apa-apa peruntukan daripada kerajaan Madani namun dengan bantuan sahabat-sahabat seperjuangan dapat juga dikumpul bantuan sehingga boleh diserahkan kepada mereka yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 17/3/2024











