
KUALA LUMPUR: Pembinaan Empangan Sabo oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM20 juta diyakini mampu memperlahankan aliran air Sungai Kupang dari Gunung Inas, sekali gus mengurangkan impak banjir.
Ustaz Hassan Saad (PN-Baling) berkata, bagaimanapun dua Empangan Sabo di Kampung Iboi yang sepatutnya dibina pada tahun lepas itu difahamkan masih berada dalam proses penilaian tender.
“Acap kali dibangkitkan di dalam perbahasan mengenai RTB (Rancangan Tebatan Banjir) terutama sekali di Baling. Seperti yang mana kita ketahui setiap kali datangnya musim banjir, maka berlakulah banjir yang besar.
“Yang menimpa musibah ke atas penduduk-penduduk kawasan yang berhampiran dengan sungai,” ujar beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.
Beliau sehubungan meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan status RTB di Baling bagi persediaan musim hujan akan datang terutama sekali jambatan-jambatan yang belum siap.
Menurutnya, selepas banjir dua tahun lalu, Jambatan Kampung Tanjung Iboi dan yang paling lama ialah Jambatan Kampung Padang China di kawasan Baling masih juga tidak dilaksanakan.
“Menteri Besar Kedah telah mengadakan mesyuarat khas bersama pelbagai agensi berkaitan dengan Kerajaan Persekutuan tahun lalu bagi membincang langkah-langkah menangani masalah banjir di Baling.
“Difahamkan bahawa pelaksanaan RTB Baling yang membabitkan tiga fasa. Proses pengeluaran tender bagi RTB fasa pertama dengan kos RM15 juta yang sepatutnya siap pada Februari tahun ini.
“Manakala RTB Baling fasa yang kedua dengan kos RM160 juta lalu juga masih dalam proses penilaian tender. Dan RTB Baling fasa ketiga pula masih dalam proses penyediaan kertas kerja untuk diangkat dalam permohonan perancangan yang akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/3/2024




















