
KUALA LUMPUR: Tragedi kes peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid berjaya mencabar 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan menuntut ketegasan kerajaan untuk memastikan ia tidak melarat ke negeri lain.
Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata, tindakan tegas itu pernah ditunjukkan oleh kerajaan-kerajaan lepas dalam beberapa isu yang pernah berlaku demi untuk melindungi syariat Islam.
“Saya melihat isu Nik Elin ini sekiranya tidak ada tindakan segera dan pantas serta berkesan untuk mempertahankan enakmen syariah di negeri-negeri daripada terus dicabar, ia akan memberi kesan yang sangat membahayakan negara.
“Tindakan tegas kerajaan pada masa lalu dalam menyekat fahaman anti hadis dan mengharamkan penyebaran buku Kassim Ahmad sehingga fahaman tersebut dapat dibendung,” ujarnya mengimbas salah satu kejadian berkaitan.
Tambahnya, ketegasan sama adalah sangat dituntut bagi membendung gelombang mencabar syariat Islam pada masa kini yang merosakkan akidah daripada terus berlaku dan berulang.
“Ia boleh membuka ruang kepada kemunculan berterusan golongan pelampau sekular yang radikal dan ekstrem,” ujarnya ketika berucap pada sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Tambah Tuan Guru Zulkifli, Islam bukan semata-mata menyeru manusia kepada menegakkan keadilan dan kemudiannya membiarkan manusia itu mencari-cari bentuk keadilan yang diperlukan itu tanpa sebarang panduan.
“Sebaliknya Islam turut menyediakan suatu hukum dan peraturan yang lengkap dan adil bagi menjamin keadilan tersebut akan dapat ditegakkan di kalangan manusia secara berterusan,” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat menambah, masyarakat Islam itu adalah masyarakat yang berhukumkan undang-undang dari langit berasaskan manhaj kebenaran, keadilan dan persamaan.
“Ianya ditegakkan di bawah lindungan kekuatan yang memelihara dasar-dasar perundangan itu. Yang menolak dan mengancam, sesiapa saja yang berkeinginan melanggarnya, atau mencabar kesuciannya,
“Atau berusaha menghapuskan atau sesiapa sahaja yang cuba menyekat perkembangan dakwah Islam di dalam negara Islam atau di luarnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 7/3/2024












