
KUALA LUMPUR: ‘Rumah kami dikelilingi sawah bendang, tetapi beras tiada’, itu luahan rakyat di negeri Kedah seperti yang dinyatakan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) di Dewan Rakyat hari ini.
“Kedah merupakan negeri jelapang padi. Sudah tentulah isu-isu yang berkait dengan industri padi atau food security amat dekat di hati dan menjadi topik perbualan rakyat di sana.
“Rakyat bercakap rumah kami dikelilingi sawah bendang, tetapi beras tempatan tiada. Inilah realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat kini,” ujar beliau semasa Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, hari ini.
Sebagaimana suara sama rakan-rakan dewan yang lain, beliau juga menegaskan mengenai betapa perlunya pihak kerajaan lebih agresif, tegas dan terancang dalam menguatkuasakan peraturan pengawal seliaan.
“Supaya permasalahan atau khabar angin tentang sorok beras, percampuran beras import dan tempatan, atau tukar beg pembungkusan antara beras tempatan dan import sememangnya benar-benar tidak berlaku,” katanya.
Tambah beliau, teramat malang bagi rakyat negara ini sekiranya khabar angin tersebut benar-benar berlaku. – HARAKAHDAILY 6/3/2024




















