
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan untuk waktu Semenanjung Malaysia ditukar kepada Waktu Min Greenwich +7 (GMT +7), demikian kemuka Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat).
Timbalan Ketua Muslimat PAS Kelantan itu berkata, perkara ini membolehkan rakyat dapat menjalani kehidupan seharian mengikut jam biologi manusia sejajar dengan keseimbangan waktu.
“Kita akan sedar perubahan waktu standard kalau berada di Sabah dan Sarawak di mana antara Subuh dengan waktu kerja.. masa sangat panjang, dan kita rasa lebih segar (di Sabah dan Sarawak) berbanding di Semenanjung.
“Adakah pihak kerajaan bersedia untuk mengkaji kesan kepada perubahan ini kerana kita dapati bahawa, dulu sebelum anak ke sekolah sempat untuk makan pagi di rumah kerana waktu lebih jauh, tapi hari ini kanak-kanak ke sekolah dalam waktu Subuh?
“Selain itu, adakah kerajaan bersedia untuk membincangkan di peringkat Asean supaya mempunyai GMT yang sama bagi meningkatkan produktiviti dan ekonomi dalam kalangan negara Asean?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mumtaz dalam soalan asalnya bertanyakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai perkara tersebut yang berdasarkan kedudukan geografi dan pergerakan matahari sebenar agar rakyat dapat menjalani kehidupan seharian mengikut ‘body clock’ sejajar dengan keseimbangan waktu.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, berkata kementeriannya tidak bersedia untuk tukar waktu standard Malaysia kepada GMT +7 daripada yang telah diputuskan pada 1981.
Namun demikian, kementeriannya akan mempertimbangkan perkara ini dan membawa ke mesyuarat Asean, sementara Kementerian Luar Negeri akan menjadi tumpuan untuk tujukan agenda ini kalau dipersetujui oleh kerajaan.
“Dari segi kesan sebenarnya.. ada sebab juga kementerian ‘jaga waktu’ kerana (akan memberi) impak dan kesan ekonomi yang besar,” jawabnya. – HARAKAHDAILY 5/3/2024




















